Bukan salah Cheng Hoe, 'injury prone' Jimmy punca kurang minit permainan


  • Podium
  • Ahad, 16 Jul 2023

Sekitar aksi antara Selangor FC menentang Penang FC. — Facebook/MFL

SELANGOR FC berjaya memperoleh kemenangan ke atas Penang FC dengan keputusan 3-0 dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Jumaat.

Dalam perlawanan tersebut, Gergasi Merah membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Noor Al-Rawabdeh.

Pada babak kedua, anak-anak buah Tan Cheng Hoe terus dahagakan jaringan dan berjaya dicetak oleh import baharu Gergasi Merah, Richmond Boakye minit ke-59 dan gol kemenangan oleh penyerang skuad kebangsaan, Faisal Halim.

Sebelum ini, Gergasi Merah terpaksa berputih mata selepas ditewaskan oleh pasukan Sri Pahang FC pada 9 Julai lalu dalam perlawanan ke-16 liga.

WhatsApp Image 2023-07-16 at 18.10.56

Aksi menarik Jimmy bersama pemain Sri Pahang, Azrif Nasrulhaq. Instagram/khuzaimipiee

Bagaimanapun, dalam aksi tersebut, nama pemain skuad kebangsaan, Khuzaimi Piee menjadi bualan hangat apabila penampilannya pada aksi kali ini dikaitkan dengan kecederaan.

Khuzaimi yang baru lima kali diturunkan dalam kesebelasan utama sepanjang 17 perlawanan setakat ini dilihat bergelut mencari kecergasan dan ekoran itu, dia mudah terdedah kepada kecederaan.

Difahamkan, pemain pertahanan kental Gergasi Merah itu kurang minit permainan sejak sertai Selangor pada awal musim ini.

Pemain kelahiran Melaka itu tampil sebanyak lapan perlawanan Liga Super bersama Selangor FC dengan tiga daripadanya sebagai pemain gantian, manakala hanya tiga kali diturunkan ketika aksi Piala FA 2023.

Pada masa sama, terdapat juga beberapa pendapat daripada penyokong bola sepak tanah air yang mengatakan bahawa Khuzaimi atau jolokan namanya Jimmy gagal raih minit permainan kerana terpaksa bersaing dengan beberapa pemain di posisi pertahanan.

Ditambah dengan pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe yang sering didakwa lebih awal menyediakan senarai pemain apabila ingin diturunkan dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun, salah seorang penyokong menerusi laman Twitter memberikan pendapat yang berbeza mengenai perkara tersebut.

"Macam manalah si Jimmy ni nak lekat main first eleven, main sikit injured, main sikit injured. Bukan salah coach lah jarang pakai," katanya.

Meskipun demikian, isu kecederaan Jimmy dirasakan bukan kerana kurang minit permainan atau tidak cergas di bawah bimbingan Cheng Hoe, sebaliknya bekas pertahanan Negeri Sembilan FC itu bergelut dengan 'injury' sejak Disember tahun lepas ketika bersama Harimau Malaya untuk kempen Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022.

Ketika itu, Jimmy dilihat menggunakan tongkat selepas aksi pembukaan Kumpulan B dan terlepas beberapa perlawanan bersama skuad kebangsaan.

Rentetan prestasi terumbang-ambing Jimmy di skuad Merah Kuning, ada khabar angin mengaitkannya dengan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Penang FC yang pasti menginginkan khidmat pemain Selangor FC itu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram