'Teruskan perjuangan demi Sabah maju jaya', ucapan Baddrol punca Rizal berderai air mata


  • Podium
  • Ahad, 16 Jul 2023

Ucapan terakhir Baddrol di hadapan ribuan penyokong Sabah pada Sabtu. — Facebook/Sabah FC

KAPTEN Sabah FC, Baddrol Bakhtiar memberikan ucapan perpisahan terakhir kepada rakan sepasukan serta penyokong Sang Badak sejurus tamat perlawanan di antara Sabah dan Sri Pahang FC pada Sabtu.

Episod terakhir Baddrol berakhir dengan indah apabila The Rhinos berpesta gol menumbangkan Sri Pahang FC 4-0 sekali gus menjadi hadiah perpisahan mereka bersama pemain berusia 35 tahun itu.

Kesemua pemain Sabah bermain bermati-matian untuk memberi penutup yang manis kepada jeneral tengah Sang Badak itu dengan mengesahkan tiga mata penuh buat pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee tersebut.

Pemain kelahiran Kedah itu merupakan tunjang utama buat skuad kendalian Kim Swee sejak berpindah dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kira-kira dua musim lalu.

Sebelum berpisah dengan penyokong, Baddrol sempat memberikan ucapan terakhir yang mana membuatkan rata-rata penyokong bola sepak sebak dengan kata-kata dilontarkannya.

"Pengurusan Sabah FC yang banyak membantu menjaga kebajikan pemain-pemain Sabah FC tanpa anda siapalah kami.

"Dan orang yang paling penting bagi saya apabila beliau mengajak saya datang ke Sabah ini adalah Coach Ong Kim Swee dan tidak lupa kepada sahabat sejati saya, Rizal Ghazali.

"Tiada kata-kata yang terakhir bagi saya dan satu kata-kata yang dapat saya tinggalkan di Stadium Likas ini ialah, kita semua pernah kalah, tetapi jangan sesekali kita mengalah, kita teruskan perjuangan demi Sabah maju jaya, terima kasih semua," katanya.

Sebelum itu, Baddrol sudahpun memberikan ucapan terakhir kepada rakan sepasukan termasuklah barisan kejurulatihan yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya sejak berada di Sabah.

"Saya harap anda semua dapat mendoakan kejayaan saya dalam apa jua bidang sekalipun dan saya juga berharap agar pasukan ini (Sabah) bersatu hati dan menghormati antara satu sama lain.”

"Bermainlah untuk pasukan ini, untuk keluarga dan karier kita pada masa hadapan,” jelasnya.

Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa dia akan memggantung but dan menceburi bidang politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri kelahirannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram