FC JERANTUT (FCJ) sekali lagi menunjukkan kehebatannya dalam kejohanan amatur, yang mana mereka selangkah untuk menjulang piala kedua selepas layak ke perlawanan akhir Piala FA Urban Masala Empire Booster 2023 pada Ahad.
FCJ dijadualkan bertemu Boka FC di Footballhub@SkyArena, Genting Highland, Pahang pada pukul 5 petang yang mana akan menjadi perlawanan tumpuan oleh pengikut liga amatur sekitar Pahang.
Sebelum ini, FCJ sudahpun menjulang piala pertama apabila menjuarai Empire Booster League (EBL) yang mana liga tersebut menawarkan slot untuk ke pusingan kelayakkan Selangor Champions League (SCL) yang dikelola oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Dalam EBL, Boka FC berada di kedudukan ketiga liga yang mana dibezakan dengan sembilan mata dengan FCJ.
Namun dalam Piala FA ia tampak berbeza bagi Boka FC kerana mereka mempunyai tiga pemain yang tersenarai sebagai penjaring terbanyak sama seperti FCJ.
Bercakap kepada Majoriti, Pengarah Teknikal FC Jerantut, Safiuddin Shaifuddin, 35, berkongsi persiapan pasukan yang sudah berlangsung sejak enam bulan lalu.
"Pasukan FC Jerantut tidak menghadapi masalah dengan persiapan, selain sesi latihan telah berlangsung selama enam bulan sejak bermulanya Genting EBL.
"Pasukan FC Jerantut juga sememangnya mempunyai sesi latihan sendiri tanpa rehat selama tiga ke empat hari seminggu.
"Moral pemain berada pada tahap tertinggi dan sangat baik menjelang Final Piala FA Urban Masala," katanya pada Majoriti.
Pemain-pemain FCJ meraikan jaringan bersama seperti sebuah keluarga. — Facebook/FC Jerantut
Ditanya adakah sebagai status pendahulu liga itu memberikan kelebihan buat FCJ merangkul Piala FA pada Ahad, Safiuddin berkata, mungkin akan memberikan kelebihan namun mereka tidak memandang rendah mana-mana pasukan yang akan dihadapi.
"Pasukan FCJ tidak pernah memandang rendah mana-mana pasukan yang akan ditentang. Semua pasukan mempunyai sistem permainan, taktikal dan ancaman masing-masing kepada FCJ.
"Namun kedudukan pasukan dalam liga memberikan sedikit kelebihan bagi kami kerana kami pernah mengalahkan Boka FC di peringkat liga.
"Pemain Boka di bahagian serangan sememangnya diakui berbahaya. Namun itu bakal menjadi cabaran kepada barisan pertahanan FCJ dan kami yakin kubu kami akan dipertahankan habis-habisan," jelasnya.
Sekitar sesi latihan pasukan FC Jerantut bagi menghadapi final Piala FA baru-baru ini. — Facebook/FC Jerantut
Tambahnya lagi, kelebihan FCJ bukan terletak kepada individu namun kekuatan sebenar mereka ialah sifat kekeluargaan antara pemain.
"Kekuatan pasukan kami adalah seperti yang saya maklumkan sebelum ini, kesatuan hati yang kuat antara pemain dan sifat kekeluargaan.
"Seperti yang saya nyatakan, kami telah memenangi perlawanan dengan Boka FC di peringkat liga, jadi sedikit sebanyak kekuatan dan kelemahan pasukan lawan telah dianalisis oleh pihak kejurulatihan kami.
"Harapan saya, piala ini dapat dibawa pulang ke bumi Jerantut, seterusnya memberi hadiah yang bermakna kepada penyokong kami, serta membalas kepercayaan para penaja yang tidak pernah lokek membantu kami," ujarnya.
Kami di Majoriti mendoakan kejayaan FC Jerantut dalam pentas akhir Piala FA Urban Masala Empire Booster 2023 menentang Boka FC sekali gus memertabatkan platform bola sepak amatur dalam negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram