Anak warga asing akan diberi status warganegara, rakyat Borneo tuntut keadilan isu IC 'tergantung'


  • Massa
  • Selasa, 11 Jul 2023

Anak kelahiran di Sabah dan Sarawak dikatakan masih ramai yang belum mendapat status kewarganegaraan. — Gambr hiasan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempersembahkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan kepada Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat dalam usaha menyelesaikan isu kewarganegaraan anak bagi wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing, yang lahir di luar negara.

Perkara itu bertujuan bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia untuk mendapatkan hak seadilnya mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menyifatkan undang-undang Perlembagaan yang hanya menyebut hak warganegara kepada bapa sebagai situasi tidak adil, Anwar mahu mengemukakan cadangan untuk menambah golongan ibu dalam peraturan tersebut sekali gus memudahkan status warganegara kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Anwar selepas menghadiri Majlis Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa 2023 pada Isnin. — Bernama

Namun, perkara itu nyata mendapat pelbagai kritikan dan spekulasi dalam kalangan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak yang tampil dengan beberapa isu dikatakan lebih utama daripada perkara tersebut.

Antaranya, ramai penduduk di Borneo mendakwa masih belum mendapat status kewarganegaraan dan tidak menerima kad pengenalan diri IC yang sah, warga di Sabah dan Sarawak menuntut penyelesaian isu berkenaan segera daripada Kerajaan Perpaduan.

Kawasan pedalaman di Sabah misalnya masih terkecuali daripada menerima IC yang mengesahkan butir diri selaku penduduk tetap di negara ini.

Perkara itu diluahkan sendiri oleh salah seorang warganet di Facebook, yang mahukan bantuan segera berhubung isu berkenaan.

"Selesaikan la dulu masalah rakyat di Sabah dan Sarawak, ramai lagi yang belum dapat IC, bukan sibuk mahu bantu anak yang lahir di luar negara.

"Cara itu tak kena dan seolah-olah tidak adil pada rakyat yang lahir di negara ini puluhan tahun, tapi masih tidak dapat pengenalan diri.

"Ini anak yang lahir di luar negara pula yang kerajaan mahu bantu, apa kepentingan mereka sebenarnya kalau dibandingkan dengan kami," ujar Akir Cops.

"Harap sangat raja-raja tidak bersetuju dengan cadangan untuk mendaftarkan anak yang lahir di luar negara seperti dimahukan Anwar, wajib ikut protokol dan syarat-syaratnya kalau betul mahu bantu," ujar Yahya Timan.

"Utamakan rakyat yang sudah lama menetap dan lahir di Malaysia, pedalaman Sabah masih ramai yang status IC mereka tergantung seperti pendatang," tambah Hamdan Yunus.

Menuntut keadilan daripada pihak kerajaan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, rata-ratanya menggesa agar cadangan penggubalan perlembagaan itu dikaji semula dengan beberapa isu yang lebih penting berkaitan rakyat yang menetap di negara ini.

Menurut laporan media sebelum ini, beberapa isu berbangkit menjadi faktor kepada permasalahan tersebut yang sebahagian daripadanya berpunca akibat ketiadaan bekalan elektrik, kemiskinan dan laluan berliku perlu diharungi untuk individu mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terletak di kawasan bandar.

Terpaksa mengeluarkan kos tinggi bagi menyewa kenderaan untuk ke kawasan bandar, menjadi faktor utama masyarakat di pedalaman Sabah dan Sarawak masih belum mendapat sebarang dokumen pengenalan diri atau MyKad.

Justeru, pihak kerajaan diharapkan tampil menghulurkan lebih banyak bantuan terhadap golongan yang terkesan dengan isu ini sudah berlanjutan sejak sekian lamanya hingga ke hari ini.

Tidak menolak sebarang cadangan mahupun usaha Anwar Ibrahim dalam membawa isu hak kewarganegaraan bagi individu di luar negara, namun fokus utama seharusnya ditumpukan kepada rakyat yang sememangnya dilahirkan di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram