[VIDEO] Kes guru gigit bibir budak, murid lain dakwa turut jadi mangsa 'Cikgu Nor'


  • Tular
  • Selasa, 11 Jul 2023

Tangkap layar audio rakaman mendedahkan beberapa murid lain pernah menjadi mangsa 'gigit' Cikgu Nor di sekolah.

RENTETAN kes seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang mendakwa sering dicium dan digigit oleh guru di sekolahnya baru-baru ini, beberapa murid lain turut berkongsi pengalaman sama apabila pernah menjadi mangsa kelakuan tersebut.

Perkara itu disahkan menerusi rakaman audio tular di laman Instagram ibu mangsa, @Eyma Zaideen yang tampil bertanya isu terbabit kepada beberapa murid lain di sekolah berkenaan.

Menurut murid tersebut, mereka juga pernah menjadi mangsa 'gigit' guru terbabit yang difahamkan gemar melakukan perbuatan itu kepada mana-mana murid yang digemarinya.

Dikenali sebagai Cikgu Nor, individu itu didakwa merupakan seorang guru lelaki yang sangat popular di sekolah kerana gemar menggigit muridnya.

Dalam rakaman berdurasi satu minit 40 saat itu, seorang murid berusia 11 tahun berkata, dia pernah digigit oleh guru terbabit di bahagian tangan dan hidungnya dan beberapa murid perempuan lain juga sering menjadi mangsa individu berkenaan.

Punca kelakuan itu walau bagaimanapun tidak diketahui oleh kanak-kanak terbabit namun, perkara itu meraih kecaman hebat di laman media yang rata-ratanya menganggap ia sebagai gangguan seksual terhadap golongan budak bawah umur.

Untuk rekod, @Eyma Zaideen sebelum ini mendedahkan perubahan sikap anaknya yang dikatakan menghadapi tekanan dan muram selepas pulang dari sekolah.

Hasil soal selidik dijalankan, anaknya mengesahkan kelakuan guru terbabit yang didakwa sering menggigit anggota badannya ketika di sekolah.

Susulan kes itu, Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan tersebut dan Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, kejadian seperti itu sekiranya benar tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya telah mengenal pasti hantaran yang dimuat naik ibu murid terbabit untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram