GERAM anak tidak dihantar ke kedai, seorang wanita bertindak di luar kawalan apabila mengasari pemandu e-hailing di Miri, Sarawak pada Ahad.
Insiden itu dikatakan berlaku sebaik wanita berkenaan meminta si pemandu untuk membawa anaknya ke sebuah kedai selepas selesai membuat bayaran secara atas talian.
Namun, atas faktor lokasi kedai tersebut yang difahamkan agak berjauhan dari lokasi dan bayaran yang diterima, si pemandu tidak berbuat demikian dan terus menghantar kanak-kanak itu ke lokasi asal seperti diminta.
Berang dengan situasi tersebut, si ibu kemudiannya terus memarahi dan mengasari pemandu berkenaan sebaik tiba di rumahnya.
Dalam pada itu, wanita terbabit turut dikatakan menghalang laluan kenderaan terbabit ketika si pemandu ingin beredar dari lokasi tersebut namun, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden terbabit.
Tidak dihentikan oleh mana-mana pihak, rakaman berdurasi 14 saat itu berakhir apabila wanita itu dirakam cuba merampas telefon si pemandu.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram