ENAM anggota polis Perak ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Bercham Jaya, Ipoh, Perak pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan berhubung penahanan itu, namun tidak mendedahkan dengan lebih lanjut.
"Ia masih dalam siasatan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta polis Perak," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Media melaporkan, ketika serbuan dijalankan pada pukul 11.30 malam, kesemua anggota berkenaan ditemukan berada bersama seorang wanita warga Indonesia di premis itu, malah pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada anggota terbabit positif alkohol dan seorang daripada mereka positif dadah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim ketika dihubungi berkata, seorang daripada anggota polis terbabit, ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan minuman yang memabukkan.
"JAIPk dipanggil menyertai operasi yang bermula pada pukul 9 malam dan berakhir pada 4 pagi bagi membuat pemeriksaan,” katanya.
Harith Fadzilah berkata, JAIPk menjalankan siasatan dan tindakan berhubung kesalahan itu di bawah Seksyen 59 Enakmen Jenayah Syariah Perak (EJSPK) 1992. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram