'Versi Anwar atau Muhyiddin?' Fahami kronologi pemansuhan hutang peneroka Felda


  • Massa
  • Isnin, 10 Jul 2023

Pelupusan hutang peneroka Felda telah dilaksanakan pada tahun 2021.

ISU hutang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seakan-akan tiada kesudahan apabila dua pihak bertegang urat untuk 'claim' siapa yang dapat menyelesaikan isu tersebut.

Di pihak kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bahawa pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

Perkara itu dimaklumkan oleh beliau pada sambutan Hari Peneroka Felda baru-baru ini.

Menurut Anwar, kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun tampil mendakwa Ahli Parlimen Tambun itu melakukan pembohongan berhubung pelupusan hutang peneroka Felda.

Pengerusi PN itu turut menafikan dakwaan Anwar yang menuduhnya tidak melaksanakan pelupusan hutang tersebut semasa mentadbir kerajaan.

Beliau dengan tegas menyatakan bahawa pelupusan hutang peneroka Felda dilaksanakan ketika menjawat jawatan sebagai perdana menteri.

Muhyiddin (kanan) kesal dengan kenyataan Anwar (kiri) dan menegaskan pelupusan hutang telah dilaksanakan ketika beliau masih menjawat jawatan Perdana Menteri.

Bagi memahami lebih lanjut isu ini, berikut Majoriti tampilkan kronologi dan info berkaitan pemansuhan hutang peneroka Felda berdasarkan pemerhatian pemerhati politik Laga Cawan menerusi akaun ciapan di Twitternya:

2018 - Pakatan Harapan (PH) menerusi manifesto yang ditawarkan berjanji untuk memansuhkan hutang peneroka Felda pada tahun berkenaan.

15 Julai 2021 - Sempena Hari Peneroka Felda 2021, Muhyiddin mengumumkan kerajaan melalui Felda bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

2022 - Kerajaan PN tidak bayar satu sen pun daripada RM1 billion bayaran tahun pertama yang dijanjikan. Belanjawan 2021 dan 2022 di bawah PN tidak menyediakan peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang Felda. Felda berisiko menghadapi masalah aliran tunai dan berkemungkinan gulung tikar.

23 Februari 2023 - Kerajaan tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8 bilion, yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan PN pada 2021. Ini kerana penghapusan hutang peneroka Felda secara berterusan memberi impak besar terhadap aliran tunai entiti itu.

Jun 2023 - Anwar menandatangani perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi berkenaan dalam usaha memulihkan kedudukan dan menstabilkan semula kewangan Felda bagi mengangkat mobiliti sosial warga peneroka serta generasi baharu Felda. Perjanjian itu melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda sekali gus hapuskan hutang peneroka.

Mengulas lanjut isu itu, Laga Cawan pada Ahad turut memuat naik info berkenaan pemansuhan hutang tersebut dan berkata bahawa dalam hal ini, Anwar dikatakan tidak menggunakan konsep scammer 'hang bayar dulu, nanti aku bayar balik'.

Sebaliknya, beliau membenarkan Felda menerbitkan sukuk RM9.9 billion dan memberikannya RM8.3 billion untuk menanggung pelupusan hutang yang harus ditanggung Felda.

"Apa beza konsep langsai hutang versi Muhyiddin dengan versi Anwar?

"Muhyidin, nanti hang hilang potensi income RM8.3 billion, tapi nanti kami bayar tiap tahun RM1 billion. Sementara Anwar, kita sama-sama pinjam, nak RM9.9 billion, hang guna, hutang mansuh dan bayar balik RM1 billion tiap tahun," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram