Tun M-Syed Saddiq bertikam lidah, ramai anggap hanya sandiwara politik antara sifu dan protege


  • Politik
  • Khamis, 06 Jul 2023

Syed Saddiq (kiri) dan Dr Mahathir pernah bersama-sama dalam Bersatu sebelum dibuang daripada parti selepas 'Langkah Sheraton' pada 2020.

PERBALAHAN terbuka antara Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Ahli Parlimen Langkawi yang juga mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghangatkan suhu politik negara menjelang musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di enam negeri.

Perkara yang menjadi perdebatan antara antara kedua-dua pemimpin tersebut sejak minggu lalu adalah berkaitan dengan isu kepelbagaian kaum di dalam negara.

Dr Mahathir sebelum itu berkata, tindakan mempromosikan negara berbilang bangsa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang didakwanya menekankan prinsip ‘Kemelayuan Malaysia'.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut dibidas oleh Syed Saddiq yang mengatakan bahawa pemimpin negara seharusnya mengangkat dan meraikan kepelbagaian yang wujud di Malaysia dan bukannya menyerang mana-mana kaum lain.

Susulan daripada itu, Dr Mahathir dalam hantaran terbaharunya menolak idea dikemukakan Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerana menyifatkan ia berpotensi menghakis identiti bangsa Melayu.

Perbalahan terbuka daripada kedua-dua pemimpin itu agak menarik perhatian kerana ia dilihat jarang berlaku secara terbuka meskipun kedua-duanya sudah memilih haluan politik berbeza sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Hal tersebut juga menyebabkan terdapat pihak menimbulkan kecurigaan mereka terhadap perkembangan yang berlaku itu dan menyifatkan ia sebagai hanya sebahagian helah politik kedua-dua pemimpin terbabit yang pernah mempunyai hubungan sebagai protege dan mentor ketika bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Acah-acah tak sebulu pula, pandai berlakon...Bravo," ujar Muhammad Afiq.

"Good acting by Saddiq (Lakonan yang baik oleh Saddiq)," tulis Nazarul Haizan M.

"Ini semua wayang..." ujar Edmund Edward.

Dalam pada itu, ada berpendapat bahawa perkelahian yang berlaku antara kedua-dua pemimpin yang pernah mempunyai hubungan seperti protege dan mentor itu hanyalah sebagai usaha bagi menonjolkan Muda yang baru-baru ini mengambil keputusan besar untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

"Nak tonjolkan Muda dengan cara inilah,"ujar Hadi Azrul.

699095

Syed Saddiq (kanan) dan Dr Mahathir (tengah) ketika masih bersama dalam Bersatu.

Untuk rekod, Syed Saddiq merupakan individu yang mengetuai sayap pemuda Bersatu ketika Dr Mahathir menubuhkan parti tersebut.

Bagaimanapun, kedua-duanya dibuang daripada parti selepas berlakunya gerakan politik dikenali sebagai 'Langkah Sheraton' pada awal 2020.

Mereka kemudiannya mengambil haluan berbeza dengan Dr Mahahthir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang memiliki prinsip cenderung kepada perjuangan orang Melayu manakala Syed Saddiq pula menubuhkan Muda yang lebih terbuka.

Di sebalik perbezaan tersebut, terdapat sebahagian pihak masih berpandangan kehadiran Syed Saddiq bersama Muda khususnya dalam membina kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) adalah untuk bertindak sebagai 'boneka' Dr Mahathir bagi menjejaskan imej dan prestasi gabungan tersebut.

Beberapa tindakan dan kenyataan dibuat oleh Muda termasuk dalam langkahnya baru-baru ini untuk bergerak secara solo pada PRN kali ini turut menguatkan lagi kecurigaan tersebut.

Namun, Syed Saddiq dalam kenyataan terbaharunya pada minggu lalu menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan beliau bukan boneka kepada Dr Mahathir dan tidak menerima sebarang arahan daripada pemimpin berkenaan.

Katanya, kritikan terhadap kepimpinan kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berasaskan kepada hasratnya untuk melihat pelaksanaan tadbir urus lebih baik dalam politik negara. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram