Twitter tolak permintaan SKMM untuk turunkan ciapan kritik PM


  • Massa
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Twitter difahamkan menerima permohonan daripada SKMM untuk menurunkan beberapa ciapan di Twitter dipercayai membabitkan kritikan terhadap kerajaan dan perdana menteri.

SYARIKAT penyedia perkhidmatan media sosial, Twitter difahamkan menolak permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menurunkan beberapa ciapan dipercayai mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia membabitkan empat hantaran dibuat pengguna Twitter yang menggunakan nama akaun, Salim Iskandar.

Tindakan penolakan tersebut didedahkan sendiri oleh Salim yang menerima emel daripada pihak penyedia perkhidmatan rangkaian media sosial yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu pada 28 Jun lalu.

"Kami tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kandungan yang dilaporkan selepas menerima permintaan tersebut.

"Memandangkan Twitter sangat percaya dalam mempertahankan dan menghormati suara pengguna kami, menjadi dasar kami untuk memberitahu pengguna jika kami menerima permintaan undang-undang daripada entiti (seperti penguat kuasa undang-undang atau agensi kerajaan) yang diberi kuasa untuk memadamkan kandungan daripada akaun mereka," menurut tangkap layar e-mel diterima Salim daripada Twitter dan dikongsikan menerusi ciapannya pada Jumaat.

Fz1lxXVaIAAL8ki

Tangkap layar emel yang diterima Salim daripada Twitter. — Twitter/SalimIskandar

Twitter dalam maklum balas berkenaan perkara tersebut turut menasihatkan Salim untuk memutuskan sama ada beliau mahu memadamkan siaran itu secara sukarela, atau mendapatkan khidmat peguam bela.

Salim sebelum ini difahamkan membuat beberapa siri ciapan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan liwat dalam kes yang menyaksikan pemimpin tersebut disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara pada 2015, sebelum diberikan pengampunan diraja pada 2018.

Beliau turut membuat kritikan terhadap Ahli Parlimen Tambun itu kerana pendirian pemimpin terseut yang mula memihak kepada pelaburan China berbanding semasa pemimpin itu berada di pihak pembangkang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram