USAHA memperjuangkan reformasi kini tidak lagi eksklusif kepada mana-mana individu mahupun parti di dalam negara, kata bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.
Beliau yang juga antara penggerak awal gerakan reformasi di Malaysia berkata, pelaksanaan cita-cita tersebut kini turut dipikul oleh mana-mana pihak termasuk parti yang berada di luar kerajaan.
"Sekarang ruang sudah terbuka, baik gelombang apa pun, akhirnya rakyat ingin melihat siapa yang pegang kuasa itu sama ada mereka boleh melaksanakan cita-cita ini (reformasi). Jika tidak, mereka akan diganti.
"Jadi maksudnya, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi PM (Perdana Menteri), selepas itu cita-cita reformasi ini tidak dimonopoli oleh sesiapa pun," katanya kepada Majoriti.
Menurut Tian Chua, rakyat kini akan membuat penilaian bersandarkan pencapaian setiap parti politik untuk merealisasikan usaha reformasi yang diperjuangkan sebelum ini.
"Sekiranya Umno berjaya, rakyat akan sokong Umno. Begitu juga situasinya jika kumpulan 'gelombang hijau' itu dilihat dapat laksanakan apa yang dijanjikan masa zaman reformasi.
"Kita pun masih ingat apa yang kita sebut gelombang hijau, pada satu ketika dahulu, mereka juga sebahagian daripada (gerakan) reformasi, walaupun karang pendirian politik berbeza," ujarnya.
Gelombang hijau merujuk kepada sokongan luar biasa ditunjukkan pengundi terhadap PAS yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) sehingga membolehkan parti itu memenangi jumlah kerusi yang mengejutkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tian Chua berkata, fenomena gelombang hijau yang kini menyebelahi PN dijangka tidak kekal lama jika gabungan itu terus menggunakan isu perkauman dan agama untuk meraih sokongan pengundi.
Untuk rekod, PAS sebelum ini pernah bekerjasama dengan PKR yang merupakan parti terawal menggerakkan reformasi di dalam negara menerusi beberapa gabungan antaranya Barisan Alternatif pada Pilihan Raya Umum 1999 dan Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015.
Dalam pada itu, Tian Chua berkata, fenomena gelombang hijau yang kini dilihat ditunggang oleh PN dijangka tidak kekal lama sekiranya gabungan itu terus terperangkap dengan menggunakan isu perkauman dan agama untuk meraih sokongan pengundi.
"Mungkin mereka dapat merangsang mood buat sementara ini tapi akhirnya rakyat akan lihat apa yang di depan mereka. Adakah kehidupan mereka lebih selesa? Adakah mereka dapat tingkatkan pendapatan mereka dan memiliki ekonomi yang stabil. Itu yang jadi keutamaan.
"Itu saya rasa bagi kedua-dua gabungan utama baik PH/BN atau PN, akhirnya, mereka akan berlumba dalam satu pentas yang sama bagaimana untuk beri perkhidmatan yang baik kepada rakyat dan bagaimana mereka dapat bantu tingkatkan ekonomi negara," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram