Pemilik LAFC antara 4 jutawan sesuai dikaitkan dengan bidaan pemilikan kelab Pantai Timur


  • Podium
  • Isnin, 03 Jul 2023

LAFC antara pasukan paling berjaya di Liga Amerika Syarikat ketika ini. — Agensi

JOHOR Darul Takzim (JDT) ada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai perintis bola sepak Harimau Selatan.

Selangor FC ada Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pemilik pasukan Gergasi Merah.

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pula ada Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebagai pemangkin kelab bola sepak di Utara tanah air itu.

Tiga kelab ini antara rujukan terbaik buat lawan untuk memperbaiki dan mempelajari selok-belok pengurusan bola sepak di Liga Malaysia.

Meskipun Selangor dan Kedah tidak gah seperti JDT, namun pengurusan mereka boleh dianggap terbaik dan konsisten dari semasa ke semasa.

Tidak seperti Kelantan FC yang dilihat sedang bergolak tentang isu dalaman pasukan melibatkan kewangan sehingga ramai pemain membuat keputusan untuk melangkah keluar dari kelab itu.

Umum mengetahui penyakit bola sepak yang sukar dipulihkan daripada dahulu ialah sikap boros pihak pengurusan membelanjakan wang sehingga berlakunya tunggakan gaji.

Namun isu itu boleh diselesaikan sekiranya kelab atau pasukan dapat mencari seorang pemilik yang mampu menguruskan kewangan dengan baik seperti yang terjadi kepada Perak FC.

Perak FC

XOX mengambil alih Perak FC pada Ogos 2022. Facebook

Syarikat telekomunikasi, XOX berjaya mengambil alih The Bos Gaurus dan menyelesaikan masalah kewangan pasukan.

Justeru, pemilikan yang dapat mengurus kewangan dengan efisien dan efektif dapat membantu kelangsungan hayat kelab bola sepak itu dalam mengharungi saingan liga.

Menurut perkongsian, penganalisis bebas bola sepak Malaysia, Syafiq Freman, dia memaklumkan bahawa terdapat usaha individu yang dikenali sebagai seorang jutawan untuk mengambil alih sebuah kelab di Malaysia berpangkalan di Pantai Timur.

"Difahamkan sebelum hujung Julai ini, sebuah kelab Pantai Timur bakal terima bidaan rasmi dari sebuah entiti perniagaan."

Jika perkara ini benar, ia akan memberi sinar harapan buat penyokong-penyokong seperti Kelantan FC, Terengganu FC dan Sri Pahang FC.

Majoriti senaraikan empat individu yang mempunyai entiti perniagaan serta berpengalaman dalam selok-belok bola sepak.

LAFC memenangi Liga Amerika Syarikat musim lalu. Agensi

1. Datuk Ruben Emir Gnanalingam (Pengarah dan Pemilik Los Angeles FC)

Datuk Ruben Emir Gnanalingam ialah Ketua Pegawai Eksekutif Westports Malaysia.

Gnanalingam terlibat dengan beberapa perniagaan sukan profesional termasuk Queens Park Rangers, sebuah kelab bola sepak Inggeris yang bersaing dalam Kejohanan EFL.

Selain itu beliau merupakan pengarah Los Angeles FC sebuah kelab bola sepak yang beraksi dalam Liga Utama Amerika Syarikat.

Di LAFC, mereka berjaya merekrut beberapa bintang dunia seperti Carlos Vela, Giorgio Chiellini dan Gareth Bale yang bersara di pasukan ini.

2. Tan Sri Tony Fernandes (Pemilik Queens Park Rangers)

Siapa tidak kenal dengan tokoh perniagaan, Tan Sri Tony Fernandes yang mempunyai pelbagai kejayaan bersamanya.

Fernandes mempunyai pengalaman yang luas dengan dunia sukan apabila beliau pernah dilantik selaku Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pada 2018.

Beliau juga memiliki sebuah kelab bola sepak Queens Park Rangers (QPR) yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris selepas sentuhannya di pasukan itu.

QPR pernah menjalani latihan pramusim di Malaysia dan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Kelantan FC pada 2012 yang menyaksikan The Red Warriors (TRW) tewas dengan keputusan 0-5.

Vincent Tan sudah menjadi pemilik Cardiff City selama 12 tahun. Agensi

3. Tan Sri Vincent Tan (Pemilik Cardiff City dan FK Sarajevo)

Tan Sri Vincent Tan merupakan watak penting yang membawa Luqman Hakim beraksi di Eropah bersama K.V. Kortrijk di Liga Utama Belgium.

Vincent Tan juga pernah membawa Safee Sali dan Safiq Rahim merasai pengalaman bersama kelab England, Cardiff City semasa era kehebatan mereka berdua.

Hasil sentuhan Vincent Tan, Cardiff City pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan membawa beberapa bintang dunia seperti Gary Medel dan Aron Gunnarsson.

Baru-baru ini, Vincent Tan telah menjual salah satu kelab bola sepaknya, K.V. Kortrijk kepada ahli perniagaan kelahiran Amerika Syarikat-Poland, Maciek Kaminski.

4. Datuk Seri Vida (Bekas penaja Kelantan FC)

Baru-baru ini senario bola sepak negara kecoh apabila Datuk Seri Vida (DSV) meluahkan hasratnya untuk mengambil alih Kelantan FC daripada Norizam Tukiman.

DSV menawarkan bantuan untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan seperti dahulu.

Usahawan kosmetik itu bercadang untuk mengambil semula pasukan Kelantan dan beliau memaklumkan berasa kasihan dengan situasi semasa.

DSV turut menjelaskan bahawa beliau mampu mengambil alih pasukan Kelantan namun tidak akan menanggung tunggakan yang ditinggalkan pengurusan sekarang.

DSV sebelum ini merupakan penaja utama pasukan Kelantan dengan perjanjian tajaan dipercayai mencapai RM16 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram