MACAM mana nak beli kelab kalau pemilik tak nak jual?
Demikian persoalan para penyokong mengenai sekatan perpindahan Kelantan FC apabila ditarik semula.
Persoalan itu timbul selepas badan bebas, First Instance Body (FIB) memaklumkan bahawa kelab Pantai Timur berkenaan dihukum atas kegagalan menghantar bukti bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Tangkap layar mengenai kenyataan tersebut. — Facebook/Zamsaham
Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman di laman rasmi Facebook, pasukan Kelantan FC terlepas sekatan perpindahan apabila berjaya membuat pembayaran penuh seperti bukti yang dihantar melalui emel rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menerusi tangkap layar tersebut, kenyataan itu menyebut mengenai penarikan balik perintah larangan pendaftaran pemain tempatan dan antarabangsa terhadap kelab bola sepak Kelantan.
"Kes-kes tersebut telah diselesaikan setelah pembayaran penuh diterima sepenuhnya oleh pengadu-pengadu. Oleh yang demikian, perintah larangan pendaftaran pemain tempatan dan antarabangsa terhadap kelab bola sepak Kelantan adalah ditarik balik dengan serta-merta oleh FAM," katanya dalam tangkap layar tersebut.
Rentetan perkembangan terbaharu itu, rata-rata penyokong tertanya-tanya mengenai status kelab tersebut sama ada adakah Zamsaham melepaskan atau terus menerajui kelab tersebut.
Seperti dilaporkan Majoriti, kemelut kewangan itu menarik perhatian bekas penaja Kelantan FC, Datuk Seri Vida yang menyatakan keinginan untuk membeli kelab tersebut secara bersyarat.
Malah, Vida dilihat begitu serius untuk mengambil alih Kelantan FC selepas baru-baru ini beliau telah menghantar surat kepada pemilik Kijang Merah, Norizam Tukiman atau Zamsaham, selain berbincang mengenai kelab itu.
Bukan sahaja Vida, nama bekas pemilik K.V. Kortrijk di Liga Utama Belgium, Vincent Tan juga difahamkan akan membeli sebuah kelab Pantai Timur tanah air yang dikatakan secara lebih khusus adalah Kelantan FC.
Dalam pada itu, hasrat kedua-dua jutaan tersebut seperti tidak kesampaian apabila Zamsaham difahamkan membuat pembayaran tunggakan kepada KWSP dan menyertakan bukti pembayaran kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia.
Tindakan yang dilakukan oleh Zamsaham itu seperti memberi isyarat bahawa dia tidak mahu melepaskan Kelantan FC meskipun sering didesak penyokong kelab berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram