MASALAH isu pendidikan di negara dilihat semakin meruncing dan dirasakan masih belum dapat diselesaikan walaupun sudah beberapa kali bertukar kerajaan.
Perkara itu dibangkitkan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad dalam satu hantaran Facebooknya pada Rabu.
Beliau berpendapat, perkara itu berlaku ekoran daripada sikap pihak Kementerian Pendidikan (KPM) yang sering menafikan berlakunya krisis pendidikan pada ketika ini.
"Krisis pendidikan? Nampaknya ada pihak yang sedang nafikan. Mana ada krisis pendidikan? Semua okay dan semua terkawal. Jangan risau," katanya merujuk kepada KPM.
Tambahnya lagi, tahap 'denial syndrome' kementerian itu cukup tinggi.
"Tak apalah jika masih terus menerus mahu nafikan. Biarkanlah. Satu hari bila sudah tak boleh tutup lagi, terbongkar juga," katanya.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.
Guru bersara awal
Menurut Anuar, perkara tersebut tidak boleh dinafikan lagi kerana data pendidikan yang ada menunjukkan dengan jelas krisis pendidikan sedang dan akan semakin parah.
Katanya, ada dalam kalangan cikgu kini memilih untuk bersara lebih awal ekoran daripada bebanan tugas yang semakin berat.
"Ribuan guru mahu bersara awal kerana sudah tiada semangat untuk mengajar lagi tetapi ada juga yang terpaksa bertahan bertahan sebab perlu gaji.
"Guru-guru ini masih perlu bayar hutang kereta, rumah dan pendidikan anak-anak. Ada yang masih menabung untuk ke Mekah menunaikan haji sekali gus menyebabkan mereka mengajar sekadar ala kadar sahaja.
"Malah, sebahagian guru mengambil keputusan lebih nekad. Terus hantar surat memohon bersara awal. Mengapa? Sebab guru-guru sudah tidak tahan lagi dengan beban tugas yang semakin menggunung. Lebih malang beban itu bukan beban pengajaran," ujarnya.
50 peratus pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran
Selain itu, katanya, Menteri KPM sendiri mengesahkan lebih 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah tidak mahu sambung pengajian.
"Ada lepasan SPM ini hanya mahu kerja upah. Ada pula yang langsung tiada perancangan apa-apa. Mengapa begitu ramai yang tak sambung belajar? Tiada semangat, tiada matlamat atau tiada harapan?
"Keputusan SPM yang sangat lemah dan 'trauma beratnya bebanan belajar untuk peperiksaan' masih menghantui pemikiran mereka. Pada mereka, pendidikan adalah sesuatu yang 'menakutkan'," katanya.
KPM sendiri mengesahkan lebih 50 peratus lepasan SPM sudah tidak mahu sambung pengajian.
Tambahnya lagi, data Lembaga Peperiksaan (LPM) mengesahkan ramai calon SPM yang gagal Matematik dan Bahasa Inggeris dengan subjek matematik, yang dapat gred gagal sahaja sudah 25 peratus.
"Kalau digabungkan calon SPM yang dapat gred D, E dan G, sudah lebih 50 peratus. Lihat juga data begitu ramai yang gagal Bahasa Inggeris. Pendidikan Islam dan Moral pun ramai yang dapat gred D, E dan G," katanya.
Anuar turut menyuarakan kebimbangan tentang kejadian buli di sekolah yang sering berlaku mutakhir ini.
"Terkini, data buli di kalangan murid sekolah mencecah lebih 175,000 kes. Itu kes buli yang dilaporkan. Bagaimana pula dengan kes buli yang tidak dilaporkan oleh mangsa kerana takut atau malu? Bayangkan kalau semua data buli ini diperoleh?
"Kecergasan dan aktiviti fizikal anak-anak murid-murid kita pula berada dalam kategori D- iaitu sangat tidak memuaskan," katanya.
Tangkap layar video tular pada Jumaat memaparkan seorang pelajar seorang pelajar lelaki dipukul dan ditendang berkali-kali di dalam sebuah tandas oleh pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang Mei lalu.
Antara perkara lain yang dibangkitkan Anuar adalah isu sekolah daif, sekolah sesak, sekolah kurang murid, sekolah kurang infra.
"Belum sentuh lagi jurang pendidikan murid yang kaya dan yang miskin. Sekolah di bandar raya dengan sekolah di pedalaman. (Jangan hanya lihat data bandar dan luar bandar sahaja).
"Lihat juga betapa cacamarba sistem penilaian pendidikan negara kita. Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) disangsikan oleh ibu bapa, SPM juga dipersoalkan kejituannya oleh ramai pihak. Isu silibus juga belum ada penyelesaian.
"Lihat juga di mana sistem pendidikan negara di peringkat global? Adakah cukup berkualiti pencapaian kita dalam Programme International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)? Sudah menjadi contoh kepada negara lain?
"Tunggulah beberapa tahun lagi dan lihat di mana kualiti sistem pendidikan kita di kalangan negara Asean? Singapura, Vietnam, Thailand dan Indonesia sedang laju ke depan. Apakah nanti kita hanya mampu sebaris dengan Kemboja, Laos dan Burma sahaja?," soalnya.
Jelasnya lagi, pendapat beliau itu adalah berdasarkan data yang dikeluarkan.
"Bila saya kata kita sedang masuk ke persekitaran krisis pendidikan, saya bukan cakap tanpa data. Begitu banyak data mengesahkan pandangan ini.
"Tetapi jika ada pihak yang masih tidak mahu mengaku situasi genting ini, tidak mengapa. Itu hak masing-masing," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram