'Kalau ada yang kena bantu, kita tolong', KPM komited bantu golongan tercicir SPM


  • Primer
  • Isnin, 19 Jun 2023

Fadhlina Sidek (dua, kanan) beramah mesra bersama pelajar ketika hadir menyampaikan plak penghargaan selepas SK Kanchong Darat dipilih sebagai 'Top 10 World's Best School Prizes' pada Karnival Perpaduan MADANI 2023 pada Isnin. — Bernama

KEMENTERIAN Pendidikan melaksanakan pelbagai intervensi bagi membantu golongan yang tercicir di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk sistem pengesanan untuk golongan itu dalam tempoh dua tahun.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dalam tempoh tersebut, banyak intervensi boleh dilakukan pihaknya untuk membantu golongan berkenaan dan bukan setakat menduduki semula SPM semata-mata.

"Dalam sistem pengesanan kita di peringkat KPM, kita ada sistem pengesanan golongan ini untuk dua tahun dalam radar kita dan sekurang-kurangnya kita boleh membuat intervensi pelbagai contohnya, mereka yang berhasrat sambung belajar di Tingkatan Enam... kita bagi bantuan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Perpaduan MADANI 2023 Sempena 'Top 10 World's Best School Prizes' di Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat, Banting, Selangor pada Isnin.

Menurut Fadhlina, KPM pada masa sama membuka seluas-luasnya Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mereka yang berminat sekali gus bekerjasama dengan yayasan-yayasan negeri bagi memberikan bantuan.

Beliau berkata, kementeriannya juga sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pelajar yang mahu mengulangi semula peperiksaan SPM.

"Kita (KPM) sentiasa bagi peluang, kita terus sambut apa yang Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cakap. Soal peluang kedua, soal tentu hala tuju, bimbingan dan kaunseling kita akan bantu.

"Jika mereka (golongan tercicir SPM) memerlukan apa-apa sokongan lain barangkali kewangan, melihat kepada kes, apa yang boleh kita bantu, kita akan bantu," katanya.

Media pada Isnin melaporkan, Anwar mengarahkan Fadhlina untuk mencari hampir 30,000 pelajar yang tercicir peperiksaan SPM pada tahun lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram