70,000 pelajar tak dapat sijil SPM, silibus 'lebih kepada nak jual buku' didakwa jadi punca


  • Massa
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Pelajar yang gagal lulus dalam subjek bahasa Melayu dan Sejarah tidak layak untuk mendapatkan sijil SPM. — Gambar hiasan

PADA Selasa lalu, negara dikejutkan dengan laporan mengatakan hampir 30,000 pelajar di dalam negara tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan perkara tersebut sebagai serius.

Dalam kenyataannya berhubung perkara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan melaksanakan kajian terperinci mengenai punca sebilangan.

Jelas beliau, isu yang berlaku itu sebenarnya merupakan masalah lama dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada kali ini akan memastikan agar satu langkah diambil supaya calon terbabit hadir untuk mengambil peperiksaan terbabit.

Dalam pada itu, susulan daripada pengumuman keputusan SPM baru-baru ini, terdapat juga dakwaan mengatakan bahawa kira-kira seramai 70,000 calon sijil pelajar tidak layak untuk mendapatkan sijil tersebut.

1987446

Profesor Madya Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Dr Norwaliza Abdul Wahab.

Ini bermakna kumpulan tersebut antara lain berkemungkinan berada dalam kelompok yang gagal untuk memenuhi kriteria minimum mendapatkan sijl SPM iaitu lulus dalam subjek bahasa Melayu dan Sejarah.

Mengulas mengenai isu itu, Profesor Madya Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Norwaliza Abdul Wahab berpandangan, masalah keciciran di peringkat SPM itu berlaku kerana masih terdapat pelajar gagal menguasai kemahiran asas pendidikan iaitu membaca.

Katanya, situasi berkenaan berpunca antara lain akibat daripada tahap silibus buku teks bahasa Melayu yang tinggi.

Norwaliza berkata, beliau pernah membangkitkan perkara itu dalam satu perbincangan namun pandangannya menerima kritikan termasuk daripada penggubal buku teks dan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Walaupun saya mewakili pandangan berdasarkan penglibatan dengan murid Orang Asli tetapi pandangan saya juga mewakili murid-murid lain yang kurang bernasib baik kerana tidak pergi ke tadika, lemah, terintang dan sebagainya.

"Darjah 1 fokus kepada kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) cukup. Bina asas dulu. Macam nak bina rumah perlu konkrit yang teguh. Jangan disebabkan sudah ramai murid darjah 1 sudah boleh membaca seawal umur 5 tahun maka murid yang masih tidak menguasai ini ditidakkan hak mereka.

"Ada yang tidak mampu atau sukar hendak hantar anak mereka ke tadika. Tidak boleh membaca bermakna tidak boleh menguasai semua mata pelajaran di sekolah. Apa-apa pun kena pandai membaca dulu walaupun hendak buat matematik dan sains," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Norwaliza berkata, beliau sering berpesan kepada bakal guru supaya tidak hanya bergantung kepada silibus semata-mata ketika mengajar sebaliknya perlu tetap dedikasi dan ihsan terhadap murid yang menunjukkan prestasi sederhana serta lemah.

"Pedulikan silibus. Fokus kepada pengajaran mengikut situasi dan konteks. Bayangkan seawal usia 7 tahun murid terpaksa melalui pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang sangat sukar. Buktinya ibu bapa sendiri turut mengeluh malah guru-guru juga," ujarnya.

330894

Tahap silibus yang tinggi didakwa menjadi antara punca terdapat sesetengah murid gagal untuk menguasai kemahiran membaca yang sangat penting untuk kemajuan pendidikan mereka. — Gambar hiasan

Sementara itu, rata-rata warganet bersetuju dengan pandangan Norwaliza yang membangkitkan mengenai tahap silibus subjek yang disifatkan agak tinggi untuk dikuasai murid.

"Setuju Dr. Walau ajar Sains,masuk kelas form 4,tanya siapa tak tahu membaca, ada tiga dan empat orang angkat tangan. Macam mana budak-budak ni nak lulus SPM kalau asas baca pun tak lepas," tulis Balqis Binti Mohamad Isahak.

Dalam pada itu, ada antara mereka turut mempersoalkan isu objektif penghasilan buku teks yang digunakan murid di sekolah di dalam negara di samping kekerapan perubahan polisi pendidikan negara.

"Bukan untuk tujuan pendidikan. Lebih kepada nak jual buku. Nak untung, jadi kena ada input baru. Pengarang (buku dan silibus) nak nampak hebat dan popular letak isi-isi yang bombastik," tulis Ajwad Ghali.

"Sistem pendidikan kita sentiasa dijadikan mangsa oleh ahli politik yang berkepentingan sendiri yang sewenang-wenangnya menukar polisi di sana sini. Masa saya masih pelajar, suka-suka hati sahaja tukar buku teks, tukar silibus and saya rasa ia bertambah teruk semasa waktu anak-anak buah saya belajar," ujar Nurul Mat. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram