'Main tenis-makan malam mewah', perang psikologi aksi JDT-Selangor menjelang semi final Piala FA


  • Podium
  • Ahad, 25 Jun 2023

Suasana kemeriahan Majlis Makan Malam Keluarga JDT bersama TMJ pada Khamis lalu. — Facebook/JDT

PENTAS separuh akhir Piala FA 2023 sekali lagi bakal menemukan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC pada Isnin.

Bahang kehangatan pertembungan dua seteru utama bola sepak tanah air itu pastinya sedang menjadi bualan peminat bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, dalam kesibukan para pemain mempersiapkan mental dan fizikal bagi menghadapi perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan dilihat seolah-olah cuba mengadakan perang psikologi sebelum bertembung di Stadium Sultan Ibrahim.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung menyaksikan JDT membenam Selangor FC dengan keputusan 4-0. — Bernama

Ia susulan hantaran yang dibuat pemilik Skuad Harimau Selatan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atau dikenali sebagai TMJ di InstaStory milik baginda baru-baru ini.

Hantaran menunjukkan keputusan 5-0 yang dipaparkan di papan skor seolah-olah memberi gambaran bahawa skuad Gergasi Merah akan tewas di tangan kelabnya.

Malah, pasukan Harimau Selatan itu juga sempat meraikan para pemain dalam Majlis Makan Malam Keluarga JDT bersama TMJ pada Khamis lalu.

Beberapa foto suasana kemeriahan majlis itu turut dikongsi menerusi Facebook JDT.

Ada bunyi-bunyi nakal yang mengatakan makan malam itu sebenarnya merupakan simbolik untuk meraikan kemenangan lebih awal sebelum perlawanan bermula.

Cheng Hoe yakin anak-anak buahnya tidak akan dipengaruhi dengan perang psikologi mana-mana pihak. — Facebook/Selangor FC

"Perang psikologi dah bermula, cuma kali ini lain sikit. TMJ tak umum untuk bersara, jadi fans JDT boleh tarik nafas lega," menurut hantaran di akaun Instagram ekorharimaumalaya.

“Biasa menjelang pertandingan mesti ada makan makan kan, macam dah tahu dah nak menang kan. Tetap Selangor FC di hati menang kalah,” kata eli_singkong.

“Perang psikologi JDT macam nak naikkan semangat tu aku suka, mental siapa dia menang,” tulis jojiglipse_10.

Selangor bagaimanapun dilihat tidak berdiam diri apabila turut membuat hantaran memperlihatkan gelagat para pemain bermain tenis bersama-sama dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah baru-baru ini.

Sementara itu, seperti yang pernah dilaporkan media sebelum ini, Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menganggap perang psikologi adalah biasa dalam bola sepak, namun dia percaya anak-anak buahnya sudah cukup bersedia untuk tidak dipengaruhi oleh perkara itu.

Namun jika diperhatikan, perlawanan berkenaan lebih memihak kepada skuad Harimau Selatan memandangkan mereka masih belum mencicirkan sebarang mata dalam Liga Super.

Tambahan pula, pertembungan terakhir kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan JDT mudah meratah skuad Gergasi Merah dengan keputusan 4-0 di Stadium MBPJ, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram