Sering dibayangi AA di JDT, fans sekali lagi tagih khidmat anak jati pulang ke gagang Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Penyerang muda, Arif Aiman merekodkan hatrik pertamanya bersama skuad kebangsaan. — Instagram/ariifaiman42

NAMA penyerang berbisa Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus menjadi topik utama dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air berikutan prestasi cemerlang yang sering ditampilkan olehnya dalam setiap perlawanan.

Sebut sahaja nama pemain berusia 21 tahun itu, pastinya tiada yang mampu menafikan prestasi luar biasa dan ketangkasannya ketika bermain di atas padang.

Penyerang berbisa itu juga menampilkan aksi yang semakin padu dan kelincahannya ketika beraksi bersama pasukan JDT.

Selain memiliki lima gol dalam saingan Liga Super 2023, Arif Aiman turut melakar kejayaan bersama skuad Harimau Malaya apabila merekodkan hatrik dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Papua New Guinea baru-baru ini.

WhatsApp Image 2023-06-23 at 12.15.42 (1)

Pemain sayap kiri, Akhyar Rashid ketika beraksi bersama Harimau Malaya. — Instagram/akhyarrashid

Bagaimanapun, prestasi itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pemain lain yang kurang mendapatkan minit permainan berikutan hanya memanaskan bangku simpanan.

Sebelum ini, tonggak utama JDT, Safawi Rasid juga pernah berada dalam bangku simpanan dan rentetan perkara itu, pemain berusia 26 tahun itu dipinjamkan ke Ratchaburi FC untuk beraksi di Liga Thailand Divisyen 1 yang menginginkan minit permainan.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain sayap turut terkesan, iaitu Akhyar Rashid yang dilihat hanya memanaskan bangku simpanan juga menjadi persoalan majoriti penyokong Hijau Kuning.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya mencipta tujuh penampilan dalam saingan Liga Super dan diturunkan sebanyak dua kali ketika aksi Piala FA.

Walaupun tidak mencetak jaringan dalam saingan domestik setakat ini, namun pemain kelahiran Kedah itu berjaya menghasilkan satu hantaran bantuan dalam Liga Super dan dua lagi ketika aksi Piala FA.

Oleh itu,dengan jendela perpindahan akan dibuka pada Julai nanti, ada dalam kalangan penyokong Sang Kenari berharap Akhyar Rashid akan berbakti semula untuk negeri kelahirannya untuk membantu mempertajamkan bahagian serangan Sang Kenari.

"Prestasi Akhyar di tenggelami kehebatan AA (Arif Aiman) sebab terlalu lama duduk bench, kalau masih setia dengan Kedah mungkin sekarang sudah jadi striker terhebat," kata Amirul Qutuz.

"JDT bukan penjara, pemain bebas buat pilihan, Akhyar kena fikir minit permainan, kalau kembali bersama Kedah, confirm boleh main," kata Nazri Amat.

"Lama-lama paha boleh jadi kecil kalau lama sangat simpan duduk jadi kaki bangku, ehh silap pula, bangku simpanan, kembalilah negeri asal," kata Zainol Abidin.

Oleh itu, majoriti peminar Sang Kenari berpendapat, Akhyar perlu mengutamakan prestasi dan mendapatkan minit permainan jika mahu terus bersinar dalam kancah bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram