NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
TAN Cheng Hoe mungkin bukan seorang veteran dalam suasana perlawanan akhir tapi pengalaman beberapa kali di peringkat itu sebagai pemain mahupun jurulatih membuatnya sentiasa mendambakan detik-detik itu berulang.
Satu-satu pengalamannya dalam final Piala FA sebagai pemain ialah ketika bersama Pulau Pinang pada 1997. Masuk menggantikan S. Nanthakumar pada separuh kedua, skuad Harimau Kumbang itu tewas 0-1 kepada jaringan Azman Adnan ketika Selangor turut diperkuat oleh Tony Cottee dari England, di Stadium Perak pada 2 Ogos 1997.
Selaku jurulatih, Cheng Hoe sudah dua kali mengharungi suka-duka bersama Kedah dalam final Piala Malaysia – mulanya kalah 0-2 kepada Selangor pada 2015 tapi menebusnya musim berikutnya apabila mengalahkan Selangor 6-5 dalam penentuan penalti setelah kedudukan terikat 1-1.
Final terakhirnya sebagai jurulatih tiba ketika mengemudi barisan muda Harimau Malaya berdepan Vietnam dalam Kejohanan AFF 2018. Terikat 2-2 di tempat sendiri, termasuk satu jaringan Safawi Rasid, mereka tewas 0-1 dalam aksi timbal balik di tempat lawan untuk kalah dengan agregat 2-3.
“Dalam kesemua final itu, termasuk sebagai pemain Kedah dalam tiga final Piala Malaysia berturut-turut dari 1988-90 (Kedah hanya juara mengalahkan Singapura 3-1 pada 1990), semuanya sukar hendak dilupakan.
“Segala keriuhan dalam media menjelang detik kemuncak itu, atmosfera pada hari perlawanan akhir, suasana pesta yang dicipta penyokong dan suka-duka di penghujung perlawanan, semuanya jadi kenangan abadi dan tidak akan membuat sesiapa pun berasa puas dengannya.
“Cuma, saya belum pernah jadi jurulatih yang memimpin pasukan dalam final Piala FA. Kali ini, saya ada hanya satu halangan lagi dan harap-harap angan-angan saya ini akan menjadi kenyataan,” kongsi ketua jurulatih Selangor FC itu dengan Laptop Cabuk.
Sesi latihan Selangor FC sebelum menghadapi Harimau Selatan dalam aksi Piala FA. — Instagram/ selangorfc
Halangan yang akan dihadapinya bukan sembarangan dalam bentuk barisan serba penakluk Johor Darul Takzim (JDT) yang belum pernah tewas di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor musim ini melainkan pintu golnya hanya ditembusi baru sekali, itu pun daripada sepakan penalti Leonardo Rolon, ketika mengalahkan kelab tercorot, Kelantan FC, 5-1 pada 11 Mac lalu.
Apakah pertemuan separuh akhir Piala FA pada Isnin akan berbeza?
Cheng Hoe tidak cenderung untuk bermain 'park the bus' seperti yang mungkin dicadangkan oleh kalangan tertentu demi mengelak dibolosi berkali-kali seperti ketika tewas besar 0-4 kepada lawan yang sama di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), 17 Mac lalu.
“Bermain ‘park the bus’ pun, JDT akan tetap membolosi pintu gol anda,” katanya. “Untuk menang, anda perlu jaringkan gol.
“Ada ketikanya kami perlu bertahan dengan penuh berdisiplin dan ada masa-masanya kami perlu menyerang.
“JDT ketika ini adalah pasukan terkuat dan mereka dilihat tak mampu dikalahkan, apa lagi di hadapan penyokong mereka sendiri yang tidak akan lepaskan peluang dalam perlawanan ini.
“Tentunya ia akan jadi tugas yang sangat mencabar untuk kami menyaingi mereka. Tapi kami juga tidak akan kerugian apa-apa untuk mencuba, jadi kami harus bermain mengikut kemampuan kami sendiri dengan keupayaan pemain-pemain yang kami miliki,” katanya.
Sebagai seorang yang mengutamakan ketelitian dan harus sudah menonton rakaman aksi JDT di SSI berulang-ulang kali dalam rangka persiapannya, Cheng Hoe boleh turut diyakini yang pelan disediakannya cukup rapi.
Faisal Halim antara yang beraksi bersama pemain JDT dalam skuad kebangsaan. — Facebook/ FAM
Ia satu rahmat juga kerana 10 pemain yang dilepaskannya sebelum ini -- Faisal Abdul Halim, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Syahir Bashah kepada Harimau Malaya, Yazan Al-Arab, Noor Al-Rawabdeh (Jordan) dan Hein Htet Aung (Myanmar) selain empat pemain skuad B-23 negara –semuanya kembali dalam latihan pada Khamis tanpa sebarang kecederaan.
Seperti yang diungkapkannya, mereka semuanya dalam keadaan cergas dan cukup bermotivasi selepas menyertai pasukan kebangsaan masing-masing memenuhi kalendar antarabangsa FIFA.
Latihan singkat sebelum ke Iskandar Puteri, Johor, katanya, berjalan dengan sangat baik pada ketika pemain pemain menunjukkan kesegaran dan kesungguhan, yang ditambah lagi dengan pulihnya kapten, Brendan Gan, dan pemain tengah, Alex Agyarkwa, untuk memberinya pilihan daripada skuad penuh.
“Mungkin ada yang berfikir kami patut bertahan dan elak daripada bolos hingga tamat masa tambahan, kemudian harap untuk menang loteri dalam penentuan sepakan penalti. Saya tidak kata itu tak betul.
“Tapi biarlah kami bermain dengan cara yang kami rancangkan dalam latihan, cuma kami perlu sangat berdisiplin dan pemain-pemain saya juga dituntut supaya fokus sepenuhnya dalam permainan dan elakkan kesilapan,” tambahnya.
Sekitar aksi ketika Gergasi Merah ditundukkan oleh JDT dalam saingan Liga Super. — Facebook/ MFL
Bercakap mengenai angan-angannya untuk mencipta keputusan mengejut di SSI, Cheng Hoe berpegang kepada andaian yang dia tidak pun perlu mengeluarkan wang untuk itu. Angan-angan itu percuma.
“Sebagai jurulatih, anda perlu impikan sesuatu untuk ia dijadikan cabaran di samping motivasi untuk merealisasikannya.
“Ya, saya ada membaca mengenai impian Tomi (ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner) untuk pasukannya bertemu Selangor FC dalam final Piala FA (di SSI pada 22 Julai),” katanya merujuk kepada seloroh rakan sejawatannya itu bahawa pertemuan Terengganu FC-Selangor FC akan memberi lebih keadilan kerana tiada pasukan yang akan mendapat kelebihan gelanggang sendiri.
“Dan saya berkongsi angan-angan yang sama dengan Tomi,” katanya lagi. “Seperti yang saya katakan, saya belum pernah jadi jurulatih dalam final Piala FA tapi peluang itu kini ada di tangan kami.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram