Gantikan Hadi Fayyadh dalam JDT II, anak jati Sarawak kini mula tempa nama


  • Podium
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Gabriel Nistelrooy Tamin (kanan) menunjukkan aksi yang cemerlang di JDT ll. — Instagram/ GabrielNistelrooy

NAMA Gabriel Nistelrooy Tamin semakin meniti bibir dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan pada ketika ini terutamanya di Sarawak.

Manakan tidak, pemain yang berasal daripada Miri itu boleh dikatakan anak kaum Iban pertama yang bermain dalam kelab gergasi Johor Darul Takzim IV (JDT IV).

Untuk rekod, Gabriel Nistelrooy mula menyertai JDT IV pada 2019 selepas berjaya memikat ketua jurulatih, Gonzalo Sanz Zaballos.

Sebelum dinaikkan pangkat ke JDT II bagi menggantikan tempat Hadi Fayyadh yang berkelana ke Jepun, prestasinya bersama JDT IV amat memberangsangkan apabila muncul sebagai antara penjaring terbanyak buat pasukan muda Harimau Selatan itu.

Screenshot 2023-06-23 232604

Gabriel Nistelrooy berjaya mencetak tiga gol peribadi dalam saingan Liga Perdana sepanjang musim lalu. — Instagram/ GabrielNistelrooy

Bukan itu saja, dia turut membuktikan dia layak berada di JDT II dengan berhasil mencetak dua gol di Liga Perdana walaupun hanya tujuh kali diturunkan pada 2021.

Gabriel Nistelrooy yang namanya seakan-akan legenda bola sepak Belanda, Ruud van Nistelrooy turut berjaya mencetak tiga gol peribadi dalam saingan Liga Perdana sepanjang musim lalu.

Hal itu menyebabkan penyokong sudah mula membandingkan kecemerlangan Gabriel Nistelrooy dengan Hadi Fayyadh yang ketika ini dilihat hambar bersama pasukan Perak FC.

Hadi Fayyadh sebelum ini pernah mencipta sensasi apabila mendapat tawaran daripada Yakult (M) Sdn Bhd untuk menimba ilmu bersama sebuah kelab divisyen 2, Liga Jepun (Liga J).

Fayyadh meraikan jaringan gol di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor pada Khamis. — Facebook/Perak FC

Hadi mulai menyertai Perak FC pada awal tahun ini. — Facebook/PerakFC.

Selama empat musim dalam Liga Jepun divisyen 3 (J3) bersama Fagiano Okayama dan dipinjamkan ke Azul Claro pada Februari 2022, penyerang berusia 23 tahun itu akhirnya kembali ke tanah air dengan menyertai Perak FC pada awal Januari.

Keputusan pemain berusia 23 tahun itu menyertai skuad Seladang pada mulanya disambut baik oleh penyokong Perak dan mengharapkan dia akan memberi perubahan kepada pasukan tersebut.

Namun, malangnya pemain berketinggian 1.84 meter itu masih tidak dapat mempamerkan aksi yang cemerlang.

Sepanjang 11 perlawanan dalam aksi Liga Super, Hadi Fayyadh hanya berhasil merekodkan satu gol dan dua bantuan gol sahaja.

Sehubungan itu, penyokong mula membandingkan prestasi Gabriel Nistelrooy dan Hadi Fayyadh pada ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram