UMUM mengetahui karier sebagai seorang pemain bola sepak profesional itu sangat singkat dan paling lama pun mampu bertahan selama 20 tahun.
Kadangkala tidak sampai 10 tahun sudah ada pemain yang terpaksa bersara dari dunia bola sepak kerana kecederaan ataupun tidak berjaya mendapat perhatian kelab bola sepak.
Disebabkan tempoh karier yang singkat, rata-rata pemain muda berlumba-lumba untuk menjadi pilihan utama beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.
Tetapi disebabkan kurang pengalaman dan kehadiran beberapa pemain import serta senior, merencatkan minit permainan mereka bersama pasukan.
Musim ini ada beberapa pemain yang menyerlah ketika usia mudanya namun kurang mendapat peluang bersama pasukan masing-masing.
Majoriti senaraikan empat pemain muda yang jarang mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan diwakili:
Akhyar Rashid. — Instagram
1. Muhammad Akhyar Rashid (24 tahun)
Nama penyerang berbisa Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus menjadi topik utama dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air berikutan prestasi cemerlang yang sering ditampilkan olehnya dalam setiap perlawanan.
Bagaimanapun, prestasi itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pemain lain yang kurang mendapatkan minit permainan berikutan hanya memanaskan bangku simpanan.
Salah seorang pemain ialah Akhyar Rashid yang hanya mencipta tujuh penampilan dalam saingan Liga Super dan diturunkan sebanyak dua kali ketika aksi Piala FA.
Walaupun tidak mencetak jaringan dalam saingan domestik setakat ini, namun pemain kelahiran Kedah itu berjaya menghasilkan satu hantaran bantuan dalam Liga Super dan dua lagi ketika aksi Piala FA.
Malah sebelum ini Akhyar dikaitkan dengan beberapa pasukan seperti Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC.
Danial Haqim melakukan debut bersama pasukan Kelantan pada 2018. — Facebook/Sabah FC
2. Danial Haqim Deraman (25 tahun)
Bekas pemain Kelantan, Danial Haqim Deraman seakan-akan 'hilang' sentuhannya sejak menyertai Sabah FC apabila peminat merasakan pemain berbakat itu hanya sekadar menjadi pilihan kedua barisan kejurulatihan Sang Badak.
Pemain berusia 25 tahun itu melakukan debut bersama pasukan Kelantan pada 2018 dan ketika itu pasukan TRW di bawah kendalian Fajr Ebrahim iaitu jurulatih dari Syria.
Selepas dua musim mencipta nama bersama Kelantan, pemain tengah pertahanan itu memutuskan untuk menyertai JDT pada 2021 dan sejak perpindahannya, Danial jarang mendapat peluang beraksi bersama pasukan itu.
Musim ini, Danial memilih untuk berhijrah ke Sabah dan episod hitam bersama JDT kembali lagi apabila dia turut jarang mendapat peluang bersama Sang Badak.
Aiman Afif merupakan tonggak utama skuad B23 Harimau Muda. — Facebook/KDA FC
3. Mohd Aiman Afif (22 tahun)
Aiman Afif merupakan penyerang berusia 22 tahun yang menjadi sebahagian daripada pemain skuad Harimau Muda ketika saingan Piala Asia Bawah 23 tahun (B23).
Pada masa sama, pemain dengan ketinggian 1.78 meter (m) itu sudah dipanggil untuk bersama skuad utama sejak berusia 19 tahun namun masih gagal untuk menembusi kesebelasan utama pasukan.
Namun begitu, aksi pertamanya pada musim ini sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC pada 1 April menyaksikan dia dapat membuat satu bantuan gol bagi membolehkan KDA FC mendapat jaringan penyamaan pada minit akhir perlawanan.
Pada musim lepas, anak kelahiran Jitra, Kedah itu berjaya merekodkan satu jaringan dan satu bantuan gol daripada tujuh penampilannya bersama skuad utama.
Hakimi Abdullah pernah mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan. — Instagram
4. Hakimi Abdullah (24 tahun)
Meskipun baru sahaja berusia 24 tahun, Hakimi Abdullah pernah mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila menjaringkan gol ketika Terengganu FC menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) musim 2021.
Perkara itu sekali gus mencalarkan rekod cemerlang yang dicatatkan skuad Harimau Selatan selepas ia merupakan kali pertama pasukan itu tewas di tempat sendiri dalam Liga Super sejak diambil alih pada 2012.
Bagaimanapun, perkara itu masih tidak cukup untuk mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama Sang Penyu dengan dia hanya bermain sebanyak enam perlawanan dalam Liga Super musim ini.
Namun, hal itu difahami penyokong Terengganu FC dengan Hakimi dilihat masih kekok dan memerlukan lebih banyak bimbingan untuk menjadi seorang pemain serba lengkap.
Jika pihak pengurusan Sang Penyu tidak mahu melepaskan Hakimi, pemain kelahiran Kelantan itu perlu diberi pendedahan secara kerap bagi mewujudkan keserasian bersama rakan sepasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram