Tak sabar bertemu Selangor, JDT mantapkan psikologi pemain supaya menang lagi


  • Podium
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Kali terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan JDT membenam Selangor FC dengan keputusan 4-0. — Bernama

AKSI separuh akhir Piala FA antara dua pasukan gergasi negara, Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC pada Ahad pasti mencuri perhatian ramai.

Selepas masing-masing mudah menepikan segala cabaran, aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor akan menentukan kelab yang bakal melangkah ke pentas akhir.

Jika diperhatikan, perlawanan berkenaan lebih memihak kepada skuad Harimau Selatan memandangkan mereka masih belum mencicirkan sebarang mata dalam Liga Super.

Tambahan pula, pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan JDT mudah meratah skuad Gergasi Merah dengan keputusan 4-0 di Stadium MBPJ, Selangor.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila rata-rata peminat bola sepak tanah air mula berpendapat bahawa juara Liga Super sembilan kali beturut-turut itu lebih berpeluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Namun, bagi pihak pengurusan, mereka semestinya tidak mahu memandang rendah setiap pasukan yang dihadapi walaupun mereka kini berada di puncak bola sepak negara.

Persiapan rapi pasti dilakukan pihak kejurulatihan supaya kesemua pemain kekal berada di tahap terbaik sekiranya khidmat masing-masing ditagih dalam 90 minit permainan itu.

Tidak mahu ketinggalan, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim turut berkesempatan turun padang untuk menyaksikan sendiri sesi latihan yang diadakan di veune perlawanan tersebut.

WhatsApp Image 2023-06-23 at 15.03.39

Tangkap layar InstaStory milik TMJ yang sudah diturunkan tidak lama kemudian.

Perkara tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran di InstaStory miliknya yang menunjukkan Baginda meluangkan masa di tepi padang.

Malah, TMJ turut kelihatan menggunakan kelengkapan latihan, yang mana memaparkan bahawa hubungan antara Baginda dan kelab cukup rapat.

Bagaimanapun, salah satu foto yang dimuat naik, kelihatan satu perkara yang cukup menarik sehingga mencuri perhatian orang ramai.

Ia menunjukkan TMJ sedang beriadah sambil melihat ke arah papan markah yang memaparkan JDT sudah menang dalam aksi tersebut dengan keputusan 5-0.

Hal itu sudah cukup untuk menjadi bahan bualan hangat memandangkan ia sudah diturunkan TMJ, namun sempat ditangkap layar oleh segelintir pihak.

Kali terakhir skuad Harimau Selatan melayan kunjungan Selangor FC di laman sendiri adalah pada Jun 2022 dengan mereka mencatatkan kemenangan 5-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram