Hampir dapatkan DNA Argentina, fans TRW harap satu lagi perubahan dibuat Zamsaham


  • Podium
  • Rabu, 21 Jun 2023

Vera merupakan individu penting mengangkat pasukan Persipura sebagai juara Indonesia Soccer Championship (ISC) A (2016). — Agensi

BERADA di kedudukan tercorot Liga Super 2023, Kelantan FC menjadi antara pasukan yang dilihat perlu melakukan perubahan ketara bagi mengembalikan semula prestasi kelab ke peringkat yang lebih baik.

Berdepan masalah pengurusan, termasuk isu tunggakan gaji menyebabkan motivasi pemain The Red Warriors (TRW) merosot, seterusnya memberi kesan terhadap corak permainan mereka di padang.

Malah, perubahan besar yang dibuat iaitu menggantikan Choi Moon-sik dengan jurulatih kelahiran Jerman, Frank Bernhardt sebagai pengendali kelab Pantai Timur itu pada April lalu juga dilihat tidak memberi impak terlalu besar buat pasukan.

Ia terbukti apabila Kelantan FC gagal membawa pulang sebarang mata daripada tujuh perlawanan.

Sedangkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham pernah menyatakan bahawa pihak pengurusan akan menggugurkan Bernhardt daripada jawatannya jika mencatatkan lima kekalahan dalam liga.

franl

Frank Bernhardt dilihat tidak memberi impak terlalu besar buat pasukan. — Agensi

Namun, ketika ini timbul desas-desus jurulatih kelahiran Argentina, Alfredo Vera bakal dibawa masuk untuk mengendalikan skuad TRW.

Khabar angin tersebut bertiup kencang apabila Zamsaham sendiri berkongsi satu hantaran video memaparkan pengendali berusia 50 tahun berkenaan bersama beberapa staf pasukan sedang meluangkan masa melihat pemain kelab Pantai Timur itu menjalani latihan.

Untuk makluman, Vera adalah antara susuk individu yang banyak menabur khidmat di kelab-kelab Indonesia seperti Persipura Jayapura, Bhayangkara dan Persebaya Surabaya.

Malah, pasukan kendaliannya berjaya memperoleh kejuaraan Indonesia Soccer Championship (ISC) A (2016) bersama Persipura Jayapura dan Liga 2 Indonesia (2017) bersama Persebaya Surabaya.

Selain berperanan sebagai jurulatih, dia juga pernah beraksi sebagai pemain import di negara itu dari 2005 sehingga bersara pada 2009.

Teruja dengan perkongsian itu, rata-rata peminat berharap agar tunjuk ajar yang diterima daripada Vera akan menjadikan pemain lebih bermotivasi, seterusnya meningkatkan prestasi persembahan di atas padang.

Skuad TRW kini berada di tangga ke-14 selepas separuh pertama musim Liga Super berakhir. — Facebook/TRW

"Zamsaham, mungkin bos kena letak target, enam bulan untuk lihat peningkatan, paling penting adalah kecergasan jurulatih dan jurulatih yang dapat melihat dan mengajar teknik asas bola sepak dengan betul.

"(Ini) disebabkan basic football player Kelantan sangat rendah, nak harapkan head coach untuk perbaiki semua benda memang tak terjangkau olehnya," tulis Pengkritik Kritis.

"Mengharapkan keajaiban daripada Vera," kata Mohd Airul.

Namun, penyokong setia mengharapkan perubahan yang dibawa Zamsaham tidak hanya terhenti di situ, tetapi juga usaha daripada pihak pengurusan dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit.

Apatah lagi, Penganalisis Sukan, Datuk Dr Pekan Ramli juga dalam laporan media sebelum ini menggesa usahawan daripada Johor itu untuk kembali memenangi hati pemainnya sekiranya mahu melihat pasukannya bangkit dalam pusingan kedua Liga Super musim ini.

"Belilah Pep (Guardiola) sekalipun kalau pemain cap ayam kita akan buat coach sakit kepala saja. Melaburlah pada pemain yang berkualiti dan cari coach yang hebat pasti semua menjadi," ujar Syukri Hadi.

"Pusingan kedua kembali ke jalan benar, jalan terus, pemain baharu juga baru mantap," menurut Beyhi Tihi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram