Siap jumpa Pol Corpas, Mario Arques beri 'hint' pilih kelab Lembah Klang andai tinggalkan TRW


  • Podium
  • Isnin, 19 Jun 2023

Arques tampil dalam 12 perlawanan Liga Super bersama TRW musim ini. — Instagram/Arques

SATU persatu pemain Kelantan FC memutuskan untuk meninggalkan kelab berpangkalan di Pantai Timur itu susulan kemelut dalaman yang masih tidak menemui jalan penyelesaian sewajarnya dari pihak pengurusan.

Antara pemain The Red Warrios (TRW) yang memuktamadkan keputusan untuk angkat kaki ialah Farhan Abu Bakar, Rozaimi Rahamat, Afiq Azuan, Cristian Rontini, Shafiq Shaharudin dan Carli De Murga selain Miguel Cifuentes yang sudah sah menyarung jersi Sabah FC pada pusingan kedua liga nanti.

Naib juara Liga Perdana musim 2021 nampaknya akan terus kehilangan pemain pada jendela perpindahan kedua pada Julai apabila difahamkan kontrak ketua pasukan, Mario Arques akan tamat pada penghujung Jun ini.

Perkara itu dikongsi oleh penjaga gol pasukan TRW, Farhan kepada Majoriti sebelum ini, yang mana dia mendedahkan import Sepanyol itu hanya menandatangani kontrak selama enam bulan bersama pasukan Kelantan.

Selepas pendedahan daripada Farhan, pelbagai pasukan difahamkan sedang berebut untuk meminang pemain tengah TRW itu termasuklah beberapa kelab dari Lembah Klang seperti Kuala Lumpur (KL) City, Selangor FC dan the giant killer, PDRM FC.

WhatsApp Image 2023-06-18 at 21.22.14

Azzmi sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mendapatkan pemain import menjelang jendela perpindahan kedua pada Julai. — Facebook/PDRMFC

Namun jika dilihat kembali kepada ketiga-tiga pasukan berkenaan, skuad Sang Saka Biru adalah jawapan tepat mengenai destinasi seterusnya tonggak tengah TRW itu susulan pengendali PDRM FC, Azzmi Ab. Aziz pernah menyatakan hasrat untuk mendapatkan import baharu pada Julai ini.

Bagi Gergasi Merah pula, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu sepertinya tidak memerlukan pemain di posisi tengah berikutan Selangor FC kini sarat dengan tonggak tengah berkualiti seperti Noor Al-Rawabdeh, Mukhairi Ajmal dan Brendan Gan.

Manakala, kehadiran tonggak tengah skuad Warga Kota yang sudah lama serasi bersama seperti Ryan Lambert, Zhafri Yahya dan Akram Mahinan pasti membuatkan Bojan Hodak akan kekal mengekalkan ketiga-tiganya dan tidak menginginkan wajah baharu seperti Arques.

Perpindahan Arques ke skuad The Cops semakin diperkukuhkan lagi apabila pemain berusia 31 tahun itu dilihat menyarung baju t-shirt dengan kelihatan logo penaja PDRM, Ranhill.

WhatsApp Image 2023-06-18 at 21.22.15

Tangkap layar Insta Story Arques.

Menerusi laman Insta Story miliknya, Arques dilihat memakai baju dengan tulisan Ranhill ketika menemui bekas penolong jurulatih dan juruanalisis video Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas.

Walaupun ia tidak memberi sebarang gambaran yang jelas, bayangan itu pasti mula diterjemah rata-rata penyokong TRW memandangkan terdapat kemungkinan besar lebih ramai pemain pasukan itu akan mengambil haluan masing-masing.

Jika benar, bekas pemain Newcastle itu akan berhijrah ke PDRM FC, ia akan menjadi satu kerugian buat Perak FC yang difahamkan turut berada dalam senarai pasukan memburu khidmat Arques.

Untuk rekod, Arques mencetak gol sulungnya dalam Liga Malaysia ketika menentang Manjung City FC dalam pusingan ke-16 pada perlawanan Piala FA 2023.

Selain itu, Arques turut merekodkan dua kali hantaran bantuan ketika menentang Terengganu FC dalam saingan Piala FA dan perlawanan Liga Super semasa berdepan dengan Sabah FC. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram