MESKIPUN jendela perpindahan kedua Liga Malaysia masih belum dibuka, Kelantan FC sudah terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa pemain.
Pemergian Carli de Murga, Christian Rontini dan Shafiq Shahruddin pada April merupakan titik permulaan dengan ramai mula gusar akan keadaan kelab Pantai Timur itu.
Namun, apa yang pastinya lebih dirasai rata-rata penyokong skuad The Red Warriors (TRW) adalah apabila pemain sayap kelahiran Sepanyol, Miguel Cifuentes mengumumkan tidak akan lagi bersama kelab terbabit.
Sumbangannya di atas padang sememangnya cukup membanggakan memandangkan dia tampil sebagai penjaring terbanyak dalam kancah Liga Super selepas menjaringkan empat gol.
Sumbangan Siringoringo pastinya dinantikan penyokong skuad TRW. — Agensi
Jadi, melihat kepada situasi itu, tanda tanya pasti timbul mengenai keadaan Kelantan FC memandangkan terdapat khabar angin menyatakan mereka tidak mempunyai jumlah pemain yang mencukupi.
Bagaimanapun, baru-baru ini, pasukan berkenaan menerima suntikan semangat apabila mengumumkan kepulangan Natanael Siringoringo dari kelab Indonesia, Dewa United.
Kehadiran pemain berkenaan pastinya menghadirkan sedikit kegembiraan buat penyokong pasukan melihat kepada kebolehannya sebelum ini.
Tidak cukup dengan itu, kepulangan pemain sayap itu turut 'direstui' bekas penyerang import kelahiran Brazil, Nixon Guylherme yang gembira melihat kepulangan rakan sepasukannya itu.
Suntikan semangat tersebut dibuat menerusi satu komen di foto yang dikongsikan Siringoringo, sekali gus turut memberi keazaman buat penyokong TRW.
Foto yang dimuat naik Nixon mencetuskan pelbagai tanda tanya. — Instagram/nixonguylherme9
Namun, langkah Nixon tidak terhenti di situ apabila dia sekali lagi memberi mesej tersirat buat Kelantan FC menerusi satu foto di akaun Instagram peribadinya.
Hantaran yang dibuat menerusi InstaStory itu menampilkan pemain berusia 27 tahun itu menggunakan gambarnya pada musim lalu ketika menyarung jersi latihan skuad TRW sambil menadah tangan.
Ia turut disertakan kapsyen berbunyi 'Kepada Tuhan yang memberikan segala-galanya daripada tiada apa-apa' yang ditulis dalam bahasa Portugal.
Bagi sesetengah pihak, mesej yang cuba disampaikan penyerang lincah itu adalah mengenai rasa rindunya akan Kelantan FC selepas dia dijulang ketika membantu mereka menamatkan saingan di tangga kedua Liga Perdana 2022.
Tetapi, ada juga yang melihat hantaran tersebut menampilkan Nixon mengharapkan bantuan daripada Tuhan untuk memberi bantuan agar bekas kelabnya itu kembali ke landasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram