Pernah memenangi 2 kejuaraan, Alfredo Vera miliki 3 kekuatan boleh bantu bangkitkan TRW


  • Podium
  • Selasa, 20 Jun 2023

Vera merupakan individu penting mengangkat pasukan Persipura sebagai juara Indonesia Soccer Championship (ISC) A (2016). — Agensi

KEHADIRAN jurulatih kelahiran Jerman, Frank Bernhardt yang menggantikan Choi Moon-sik sebagai pengendali Kelantan FC pada April lalu kelihatan tidak membawa sebarang perubahan terhadap nasib pasukan Pantai Timur itu.

Kekalahan memalukan 1-4 kepada seteru utama, Kelantan United pada awal Jun lalu menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) kini berada di tangga ke-14 selepas separuh pertama musim Liga Super berakhir.

Sebelum ini, pemilik kelab, Norizam Tukiman menegaskan bahawa Bernhardt akan digugurkan daripada jawatannya jika mencatatkan lima kekalahan dalam liga.

Namun, sejak berada di bawah kendalian jurulatih kelahiran Jerman itu, pasukan Pantai Timur berkenaan gagal membawa pulang sebarang mata daripada tujuh perlawanan.

2119870

Zamsaham memberi gambaran bahawa Kelantan FC sudah bersedia untuk berpisah dengan Bernhardt. — Facebook/TRW

Pada masa sama, Bernhardt yang dibawa masuk tidak membuahkan sebarang hasil termasuk dari segi perubahan taktikal atau corak permainan seperti mana diharapkan.

Justeru itu, dalam satu hantaran Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menerusi akaun Facebook peribadinya baru-baru ini seolah-olah memberi gambaran bahawa Kelantan FC sudah bersedia untuk berpisah dengan Bernhardt.

Dalam satu video pendek yang dikongsikan usahawan kelahiran Johor itu, kelihatan pengendali berusia 50 tahun, Alfredo Vera sedang meluangkan masa dalam kem latihan skuad TRW.

Hantaran itu lantas menarik perhatian ramai pihak yang mengatakan pengendali berasal dari Argentina tersebut bakal menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Kelantan FC untuk baki musim 2023.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga sebab utama bahawa pengikut setia kelab Pantai Timur itu perlu teruja dengan kehadiran jurulatih baharu itu.

1. Pengalaman

vera 1

Alfredo Vera mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan. — Agensi

Latar belakang Vera yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan menjadikan segelintir pihak cukup teruja untuk melihat kelibatnya bersama Kelantan FC.

Manakan tidak, jurulatih berusia 50 tahun itu banyak melatih kelab-kelab besar di negara jiran seperti Persita, Bhayangkara FC, Persebaya Surabaya dan Persipura.

Ketika bersama kelab Persipura, Vera berjaya mengangkat pasukan tersebut sebagai juara Indonesia Soccer Championship (ISC) A (2016) walaupun dia dianggap tidak layak mengendalikan pasukan tersebut.

Namun, di bawah kendaliannya pasukan Persipura yang pada awalnya menduduki tangga tercorot mampu bersaing dengan kelab lain sekali gus menunjukkan kredibiliti Vera dalam menaikkan prestasi pasukan.

Selain itu, Vera juga pernah meraih kejuaraan di Liga 2 Indonesia (2017) bersama Persebaya Surabaya.

2. Mahir selok-belok bola sepak Asia Tenggara

2125290

Skuad The Red Warriors (TRW) kini berada di tangga ke-14 selepas separuh pertama musim Liga Super berakhir. — Facebook/TRW

Vera juga dilihat menjadi antara figura penting yang dilihat mampu untuk mengembalikan keyakinan TRW untuk mendapatkan keyakinan bagi bersaing dengan lebih baik di Liga Super.

Hal ini kerana, dia boleh dikatakan sudah mahir dalam selok-belok permainan bola sepak Asia.

Jika melihat kepada rekodnya sebelum ini, Vera memulakan karier jurulatihnya di Indonesia bersama Persela Lamongan pada tahun 2013.

Sehubungan itu, sudah pasti dia tidak mempunyai masalah untuk membantu Kelantan FC dalam membuat mengatur perlawanan bagi Kelantan FC.

Malah pengalaman luas di Asia Tenggara memberi kelebihan buatnya mengintai bakat-bakat besar di rantau ini untuk dibawa masuk ke skuad TRW.

Jika benar Vera hadir untuk mengemudi Kelantan FC, pastinya sudah ada senarai pemain yang mahu diserap ke skuad utama dalam misi menjenamakan semula pasukan itu rentetan mengharungi musim hambar setakat ini.

3. Komunikasi

Zamsaham

Zamsaham memuat naik gambar bersama Alfredo Vera (tengah) di Facebooknya baru-baru ini. — Facebook/Zamsaham

Disebabkan tempohnya yang lama di Indonesia, Vera mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Indonesia yang mana tidak mempunyai banyak perbezaan dengan bahasa Melayu.

Sebelum ini, Kelantan FC dilaporkan mempunyai masalah komunikasi dengan bekas pelatih Korea, Choi Moon-sik sehingga menyebabkan prestasi pasukan itu jatuh merundum.

Sehubungan itu, Vera yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia akan memberi kelebihan kepada pasukan tersebut.

Ini sekali gus dapat membantu menyampaikan arahan taktikal yang lancar kepada para pemain dan mengenal pasti pemain-pemain muda berpotensi.

Dalam pada itu, pengalamannya yang pernah menjadi pemain kebangsaan Argentina sudah pasti penting dalam memberikan tunjuk ajar kepada barisan pemain TRW. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram