KESUKARAN skuad Kelantan FC melakar kemenangan pada setiap perlawanan Liga Super pastinya memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada pihak pengurusan malah barisan pemain itu sendiri.
Rentetan daripada kekalahan tersebut, pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) mengambil keputusan untuk memecat jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik yang dikatakan gagal membawa skuad itu pada kedudukan terbaik liga.
Hal ini kerana, di bawah kendalian bekas jurulatih yang berasal dari Korea Selatan itu, skuad TRW berdepan dengan kekalahan berturut-turut sepanjang perlawanan liga berlangsung.
Tangkap layar menampilkan jurulatih kelahiran Argentina, Angel Alfredo Vera. — Facebook/ Zamsaham
Dengan pemergian Moon-sik, jurulatih kecergasan yang dilantik bersamanya, Hyo Jun Park juga turut angkat kaki meninggalkan pasukan Kijang Merah.
Hal demikian menyaksikan pihak pengurusan Kelantan FC melantik Frank Bernhardt sebagai pengendali pasukan itu bagi menggantikan Moon-sik.
Bernhardt dilantik kerana tidak asing dalam kancah bola sepak tanah air apabila pernah melatih UiTM FC yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), namun bagi tempat jurulatih kecergasan, ia belum lagi diisi oleh sesiapa.
Terbaharu, timbul desas-desus mengatakan bahawa pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bakal membuka langkah untuk membantu pemain TRW.
Menerusi satu hantaran video di Facebook rasmi Zamsaham, kelihatan kelibat jurulatih profesional, Angel Alfredo Vera yang turut bersama-sama berada di Erfan Gym, Wakaf Che Yeh, Kelantan.
Pemilik Kelantan FC itu seolah-olah memberi bayangan mahu mengikat jurulatih kelahiran Argentina itu bagi membantu daripada aspek kecergasan jentera serangan dan pertahanan pasukannya itu yang kian merosot.
Rata-rata penyokong setia TRW memberikan respons yang baik apabila menginginkan Alfredo yang juga pernah berkhidmat dengan kelab Indonesia, Persita Tangerang, dibawa masuk sebagai jurulatih kecergasan.
Alfredo sangat berpengalaman dalam Liga Indonesia kerana terlibat dalam kejurulatihan beberapa kelab negara jiran sejak 2013 antaranya Persipura, Persebaya, Sri Wijaya FC, Bhayangkara, Persiba dan Persipura.
"Harap kecergasan dan keputusan yang positif," kata AB AB.
"Boleh jadi calon jurulatih kecergasan TRW FC tapi janji tegas Tuan Zam dan juga cari pemain yang disiplin," kata Mohd Johary.
"Mantap, semoga terus maju dan ada perubahan positif untuk team Kelantan," kata Zalliq Zamri.
Pastinya, khabar angin itu akan memberikan jalan penyelesaian kepada kemelut yang sedang menyelubungi pasukan itu.
Dengan kehadiran Alfredo Vera yang berpengalaman 10 tahun sebagai pengendali kelab di negara jiran, sudah pasti akan memberikan sedikit kelebihan kepada barisan pemain yang memberikan saingan dalam 11 baki perlawanan saingan Liga Super 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram