TINDAKAN dua remaja lelaki yang melakukan aksi 'wheelie' ketika menunggang motosikal di sebuah jalan raya dipercayai di Perak pada Isnin, mengundang kecaman di laman media.
Tidak menghiraukan keselamatan diri sendiri mahupun pemandu lain di kawasan tersebut, kedua-duanya remaja itu tidak memakai topi keledar dengan rakannya yang membonceng di belakang turut kelihatan sedang menghisap rokok elektronik.
Namun, tumpuan warganet lebih terarah kepada perbuatan si penunggang yang mempamerkan gaya duduk bersilang ketika melakukan aksi tersebut.
Dalam pada itu, video berdurasi 45 saat itu dipercayai turut dirakamkan oleh seorang lagi individu yang menunggang di belakang mereka.
Rata-rata warganet menggesa agar pihak polis mengambil tindakan terhadap remaja terbabit yang didakwa boleh mengundang kemalangan.
"Memang tak pernah serik budak sekarang, dapat motosikal mesti nak buat aksi 'wheelie' yang bahaya," kata Arsyad Zaki.
"Tolong pihak berkuasa pantau budak-budak ni, tahan je biar jadi pengajaran untuk kawan-kawan dia semua," ujar Syahir Fahmi.
"Kalau dah terjatuh bukan dia je yang susah, pemandu lain pun terlibat sama, kemalangan habis menyusahkan ramai pihak," jelas Fatin Effa.
Terdahulu, sepasang suami isteri ditahan pada 27 April lalu selepas mempamerkan aksi 'wheelie' di Jalan Pasir Puteh, Peringat, Kelantan.
Pasangan yang berusia 16 dan 17 tahun itu menyerah diri pada pukul 10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan dan kedua-duanya boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000, tidak lebih daripada RM15,000 jika disabitkan kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram