SEORANG pesakit warga emas melalui detik getir apabila diusung dalam sebuah kotak kayu dengan menaiki motosikal akibat laluan yang terlampau teruk ketika dalam perjalanan ke pusat rawatan di Tanjung Aur, mukim Maje, daerah Kaur, Wilayah Bengkulu, Indonesia baru-baru ini.
Lebih menyedihkan, wanita berusia 70 tahun itu kemudiannya dilaporkan meninggal dunia selepas lewat menerima rawatan dan proses pengebumian dijalankan di tanah perkuburan awam dekat Kampung Linau yang difahamkan jauh dari perkampungannya.
Lokasi itu dipilih selepas mengambil kira kesukaran dihadapi si mati sekiranya mahu ditanam di kawasan perumahannya susulan laluan berliku dan jarak jauh yang perlu dilalui.
Dalam pada itu, penduduk kampung rata-ratanya meluahkan kebimbangan terhadap nasib yang menimpa warga emas tersebut selain turut menyatakan masalah laluan jalan kampung berlumpur telah menyukarkan pesakit untuk dibawa berubat di mana jaraknya lebih 15 kilometer (km) dari hospital.
Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Aur yang dikenali sebagai Supriyadi berkata, pihaknya sudah berkali-kali mengusulkan cadangan pembinaan jalan kepada pemerintah setempat namun ia masih tidak direalisasikan.
"Pada ketika ini, ribuan penduduk Kampung Tanjung Aur berharap Presiden Jokowi mengambil alih pembinaan jalan tersebut agar tidak berlaku lagi kejadian serupa di masa hadapan," kata Supriyadi.
Difahamkan, kes serupa pernah berlaku pada November 2022 apabila seorang wanita hamil terpaksa dibawa dalam kotak di saat dia berdepan saat-saat kesakitan bersalin.
Malah, wanita hamil itu terpaksa bersalin di tengah jalan dan malangnya anak yang dilahirkan telah meninggal dunia di tempat kejadian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram