KEPUTUSAN Kementerian Pengangkutan Malaysia memperkenalkan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) bagi sistem paparan cukai jalan baru-baru ini nyata menerima pujian ramai.
Perkara itu dilihat seiring dengan kemajuan negara yang sekali gus memberi pelbagai kemudahan buat rakyat mahupun kepentingan negara.
Dalam pada itu, seperkara lagi yang masih menjadi masalah utama dalam masyarakat sejak dahulu hingga kini adalah berkaitan isu harga cukai jalan bagi kenderaan berdaftar.
Tidak dinafikan, ia antara tetapan kerajaan bagi pemilik kenderaan yang perlu membayar cukai jalan sekali dalam masa setahun atau enam bulan sekali bermakna dua kali setahun ikut kemampuan.
Namun, ada pihak berpendapat kadar bayaran cukai yang ditetapkan ketika ini bersifat kurang adil kerana ia hanya berpandukan pada kapasiti enjin sesebuah kenderaan yang digunakan.
Dalam erti kata lain, semakin tinggi kapasiti atau CC enjin, maka semakin mahal kos cukai jalan yang perlu ditanggung oleh si pengguna.
Antara isu berbangkit yang dipersoalkan oleh masyarakat adalah, kemajuan teknologi masa kini dilihat sudah tidak seimbang dengan peraturan tersebut memandangkan kereta jenama mewah kebanyakannya didatangkan dengan kuasa elektrik dan berkapasiti rendah.
Ia secara tidak langsung memberikan sedikit kelebihan bagi golongan berkemampuan yang memiliki kenderaan canggih sedemikian walhal golongan B40 khususnya terpaksa membayar cukai jalan dengan kos lebih tinggi.
Pemandu kenderaan berkapasiti tinggi yang menggunakan minyak diesel antara paling terkesan dengan situasi itu apabila perlu membayar kira-kira RM800 setahun bagi cukai jalan meskipun bukan dalam kategori kereta mewah.
Berbeza dengan harta rumah mahupun tanah, penyusutan nilai sesebuah kenderaan bergantung kepada jenis model, jenama dan tahun pembuatan. Kebiasaannya, purata kadar susut nilai bagi sesebuah kenderaan berlaku setiap tahun dan ia merudum selepas tempoh lima tahun.
Justeru, masyarakat mencadangkan kerajaan untuk mengkaji semula undang-undang serta tetapan kos cukai jalan yang kini semakin memihak kepada golongan yang tidak sepatutnya.
Salah seorang pengguna di Facebook dikenali sebagai Danny Rasta berpendapat, kos cukai jalan perlu diselaraskan sama seperti insurans kenderaan yang mengikut tahun kereta dikeluarkan.
"Kos cukai jalan perlu ikut tahun kereta, sama macam harga insurans kerana nilai semakin lama semakin menyusut, sekarang kereta lama tapi CC besar dah kena bayar cukai lagi mahal daripada insurans," katanya.
"Kereta sekarang semuanya semakin canggih, Mercedes pun banyak pakai enjin kecil tapi ada kuasa turbo, cukai jalan lebih murah berbanding Proton Waja, memang tak adil untuk golongan berpendapatan rendah," ujar Mohd Sukirman Mustafa.
"Memang kerajaan perlu kaji semula sebab teknologi sekarang canggih tapi undang-undang masih di tahap lama, kereta elektrik khususnya perlu dikenakan cukai sama dengan kereta berkapasiti besar yang lama, kalau tidak golongan B40 memang jadi mangsa," tambah Mohd Saiful.
Diharap luahan serta cadangan rakyat berhubung perkara itu dapat didengari oleh pihak berwajib dengan ia semakin meruncing dalam kalangan pengguna berpendapatan rendah.
Enggan menuding jari kepada mana-mana pihak, perkembangan teknologi yang semakin memuncak ketika ini perlu sejajar dengan segala ketetapan undang-undang yang melibatkan kos perbelanjaan mahupun buat kemudahan rakyat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram