BENGANG dengan kualiti kemudahan MRT yang sering sangkut dan sesak, orang ramai mula luahkan keluhan akibat terpaksa menunggu lama di stesen.
Meskipun kemudahan itu sepatutnya menjadi kelebihan serta kemudahan buat pengguna di bandar, namun isu tersebut dikatakan semakin teruk apabila orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam itu terpaksa bersesak dan 'disidai' berjam lamanya akibat pergerakan MRT yang tersangkut di laluan Kajang dalam kejadian pada Selasa.
Difahamkan, kejadian itu berlaku akibat daripada hujan kilat yang menyambar sekali gus telah mengakibatkan proses MRT di situ tidak bergerak dan terputus bekalan elektrik.
Padat dengan pekerja yang rata-ratanya ingin pulang ke rumah, kebanyakan penumpang MRT meluahkan kekecewaan yang dirasai menerusi ruangan komen di laman media TikTok yang tular sejak Rabu.
user5185530897093 berkata: "Memang! Geram! Asal hujan je mesti MRT sini masalah."
RabRubyRabi pula berkata: "Kerja Mont Kiara, buat masa ni naik kereta. Memang ada niat nak naik MRT tapi tu la, risau gini. Semalam pun balik 8 lebih baru sampai, jem kat Kerinchi dan Salak," katanya.
Salah seorang netizen, Lifelikethis turut menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap kesemua pengangkutan awam jenis tren kerana menurutnya masing-masing mengalami masalah yang sama iaitu lambat.
"Lepas LRT, MRT pulak macam ni. Apa nak jadi RapidKL ni? Naik menyampah dah sebab tak habis-habis menyusahkan orang," katanya.
Dalam pada itu, sesetengah netizen juga berpendapat bahawa selain daripada menggunakan kemudahan MRT, orang ramai juga boleh menaiki kenderaan e-hailing ataupun teksi yang dikatakan lebih cepat dan selesa daripada perlu bersesak di stesen MRT.
Namun jurang perbezaan harga yang terlampau mahal telah mendorong orang ramai untuk tetap terus menunggu dan bersabar dengan isu MRT yang sering berulang tanpa penyelesaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram