[VIDEO] 7-Eleven mohon maaf, ambil tindakan terhadap pekerja cuci 'microwave' guna mop


  • Tular
  • Selasa, 24 Jan 2023

Tangkap layar tindakan seorang pekerja mencuci perkakas mesin ketuhar menggunakan sebatang mop.

JIJIK dan pengotor. Itu dua perkara yang boleh digambarkan menerusi perkongsian tular di laman Twitter memaparkan tindakan seorang pekerja premis serbaneka 24 jam, 7-Eleven yang mencuci mesin ketuhar menggunakan sebatang mop.

Gambar kejadian dimuat naik oleh salah seorang saksi yang dikenali sebagai @AshrafChak di laman Twitter pada Ahad.

Ketuhar berkenaan yang sering digunakan pelanggan di premis tersebut, dicemari dengan sikap segelintir pekerja yang tidak mementingkan kebersihan makanan serta perkakas elektrik yang disediakan.

Tindakan pengotor pekerja berkenaan yang dipercayai merupakan pekerja warga asing itu mengundang kecaman teruk warganet.

Tidak membongkarkan cawangan premis berkenaan, pemilik akaun Twitter itu sebaliknya menggesa pihak pengurusan syarikat terbabit menjalankan siasatan berhubung kejadian terbabit.

“Hello @7elevenmalaysia, tolong la ajar staf korang untuk buat pembersihan dengan cara yang betul. Mop lantai pun masuk dalam mesin ketuhar. Pengotor oi!,” ciap Asyraf tanpa menyatakan tarikh sebenar kejadian.

Dalam pada itu, pihak 7-Eleven baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan mengambil tindakan terhadap pekerja yang melanggar protokol premis kedai serbaneka itu.

Bagaimanapun, syarikat itu tidak menjelaskan lebih lanjut jenis tindakan yang diambil terhadap pekerja itu.

Majoriti berusaha mendapatkan maklumat lanjut dari pihak 7-Eleven berkenaan status pekerja terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram