[VIDEO] Penyanyi seksi terima jahitan di kepala, cedera terkena telefon 'terbang' peminat fanatik


  • Benua
  • Selasa, 20 Jun 2023

Tangkap layar penyanyi Bebe Rexha dibawa turun dari pentas akibat tercedera di bahagian kepala ketika membuat persembahan konsert dekat New York.

BINTANG pop Bebe Rexha mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas terkena telefon pintar yang dilontar peminat ketika sedang membuat persembahan konsert di New York, Amerika Syarikat pada Ahad lepas.

Gagal mengelak daripada objek tersebut, penyanyi itu lantas terduduk secara melutut dan dibawa turun dari pentas akibat serangan berkenaan.

Susulan insiden terbabit, seorang individu lelaki berusia 27 tahun ditahan polis kerana mencetuskan kekecohan dan serangan ketika kejadian.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu berjudul 'I'm Good (Blue)' dan 'Meant To Be' itu memuat naik beberapa gambar memaparkan kecederaan dialami akibat kejadian tersebut.

Kesan lebam di bahagian mata kiri dan luka di kening antara kecederaan dialaminya yang sekali gus menyebabkan Bebe Rexha menerima rawatan dan tiga jahitan di hospital.

Beberapa pengunjung konsert terbabit meluahkan kekecewaan mereka terhadap sikap si pelaku yang didakwa sengaja mencederakan penyanyi tersebut.

"Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya terlihat satu objek melayang di udara dan menganggap ia mungkin CD ataupun kertas.

"Pengunjung semua berada dalam situasi yang gembira dan berpakaian cantik di konsert tersebut tetapi lelaki itu merosakkan segala-galanya," ujar peminat di Twitter.

Dalam pada itu, Bebe Rexha dikhabarkan akan membuat persembahan seterusnya di The Fillmore, Philadelphia pada 28 Julai depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram