[VIDEO] Rakyat tunjuk bukti KKM patut tukar uniform nurse


  • Massa
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Tangkap layar situasi getir dihadapi dua jururawat wanita yang dikongsikan di laman Twitter.

ISU etika pemakaian jururawat wanita yang dikatakan ketat dan tidak patuh syariah kian hangat diperkatakan di laman media khususnya bagi pihak yang bekerja di sektor terbabit.

Ia susulan dakwaan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Razali Wan Nor di Dewan Rakyat pada Khamis yang berpendapat, jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian terlalu ketat mengikut acuan Barat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.

Menerima pelbagai komen dan maklum balas berhubung hal itu, masyarakat mula tampil dengan alasan serta fahaman masing-masing tentang isu tersebut.

Tinjauan di laman Twitter mendapati, beberapa individu yang bekerja di sektor terbabit di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut meluahkan permasalahan dihadapi berkenaan perkara terbabit.

Seorang jururawat wanita dikenali sebagai @apikovic di Twitter, mendedahkan pengalaman getirnya apabila pernah ditugaskan untuk menjalankan ujian kesihatan di kawasan yang mencabar atas arahan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

"KKM memang tak pernah fikir, cuaca panas kami pakai uniform. Jururawat nak melawat pesakit dalam hutan pun wajib pakai uniform.

"Aku ingat lagi pernah kena pergi buat lawatan kesihatan masa banjir, arahan dari PKD untuk jururawat memakai uniform pergi redah banjir dan hujan.

"PKD cuma ikut arahan atasan iaitu KKM, pihak yang di atas tolonglah buka hati buka mata kerja dengan ikhlas," katanya.

nnan

Wan Razali Wan Nor membangkitkan isu pakaian jururawat yang dikatakan terlampau ketat dalam persidangan di Dewan Rakyat. — Awani

Dalam pada itu, seorang warganet turut berpendapat bahawa pakaian jururawat memang perlu ditukar namun bukan atas faktor ia terlampau seksi ataupun ketat.

"Pakaian jururawat perlu diganti tapi bukan sebab ketat, hanya golongan mata keranjang sahaja yang kata ia ketat.

"Isu utamanya adalah pakaian bewarna putih sangat susah untuk dijaga, jururawat setiap hari berdepan dengan kotoran darah, najis, muntah dan sebagainya.

"Si bijak pandai mana entah yang fikir 'oh, bagi jururawat pakai putih'," ujar Azman Abdullah.

"Hospital pula panas, bila pakai baju putih ni kena berlapis pulak tu, kasihan juruawat di sektor kerajaan," tambah Syalizz.

Rata-rata komen diberikan jelas menunjukkan bahawa isu pakaian seragam jururawat sememangnya satu perkara yang sudah lama menjadi masalah dalam kalangan pekerja di sektor terbabit.

Justeru, perkongsian beberapa pihak yang terkesan dengan perkara itu perlu diambil kira oleh pihak KKM dengan ia bukan lagi satu perkara remeh yang boleh dipandang rendah.

Wan Razali Wan Nor sebelum ini turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada klinik dan hospital dalam menentukan etika berpakaian yang sesuai.

Namun, perkara itu masih dalam perbincangan pihak berkaitan dan tiada sebarang tindakan lanjut diambil setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram