SEORANG wanita bertindak di luar kawalan apabila dirakam memaki dan merosakkan beberapa barangan jualan di sebuah premis kedai dekat pusat beli belah Queensbay Mall, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Jumaat.
Situasi itu dipercayai akibat perbuatan pekerja di kedai terbabit yang didakwa menuduh si pelaku sebagai pencuri ketika kejadian.
Wanita berbaju putih dan berseluar pendek biru tersebut terlebih dahulu dilihat mencangkung di luar premis berkenaan sebelum bertindak menjerit dan menjatuhkan patung serta pakaian di premis berkenaan.
Dikongsikan di laman TikTok, video tersebut hangat diperkatakan warganet dan telah meraih lebih 10,000 jumlah tontonan.
Tidak dihentikan mana-mana pihak, beberapa individu kelihatan turut merakamkan insiden terbabit menerusi telefon pintar masing-masing.
Dalam perkembangan sama, polis memaklumkan wanita tersebut sudah ditahan dan disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kerana mempunyai masalah kesihatan mental.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal menurut laporan media berkata, penahanan wanita berusia 26 tahun itu dibuat susulan menerima laporan daripada pembantu premis pakaian tersebut pukul 5.50 petang hari yang sama.
“Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa wanita itu membuat bising di hadapan premis sebelum tiba-tiba memukul dan menendang patung serta kain rentang menggunakan skateboard di dalam premis.
“Susulan itu, kita menahan wanita berkenaan selain merampas skateboard yang digunakan untuk merosakkan patung berkenaan.
“Hasil siasatan lanjut, keluarga wanita itu menetap di Cameron Highlands, Pahang dan mak ciknya memaklumkan dia mempunyai masalah kesihatan selain OKU kategori terencat akal," katanya.
Tambah Kamarul Rizal, wanita itu dihantar ke Hopsital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan dia mempunyai masalah psikiatri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram