[VIDEO] Dah pinjam siap jual motor kawan di Facebook, 2 remaja lunyai kena hentak dengan 'owner'


  • Benua
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Tangkap layar dua remaja lelaki dipukul beberapa individu selepas ditangkap menjual motosikal yang dipinjam di laman Facebook.

DUA remaja lelaki yang didakwa meminjam dan menjual motosikal rakannya mengalami kecederaan parah apabila dipukul beberapa individu dipercayai pemilik kenderaan itu di Jalan Mitra Sunter Boulevard, Sunter Agung, Tanjung Priok, Jakarta Utara, Indonesia pada Jumaat.

Dalam satu rakaman video dimuat naik di laman Instagram, memaparkan dua pemuda berkenaan dibelasah secara beramai-ramai dengan menggunakan topi keledar.

Meskipun remaja terbabit dilihat kesal dan menangis atas kesalahannya, kedua-duanya terus dipukul tanpa belas kasihan oleh beberapa individu di tempat kejadian.

Difahamkan, si pelaku terlebih dahulu meminjam motosikal itu daripada rakannya pada Khamis.

Namun, kenderaan itu tidak dikembalikan sehingga mangsa mendapati motosikalnya diiklankan di Facebook untuk dijual.

Geram dengan situasi tersebut, pemilik motosikal berkenaan kemudiannya bekerjasama dengan beberapa lagi mangsa penipuan untuk memerangkap remaja terbabit.

"Malam tadi dia pinjam motosikal saya katanya nak buat macam-macam, tetapi dia tidak pulang ke rumah dan jual motosikal saya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada si pembeli dan saya menjejaki laman Facebook dia dan dapat maklumat berkaitan dua remaja berkenaan yang juga merupakan jiran di kawasan rumah saya," kata salah seorang pemilik motosikal tersebut.

Kedua-dua remaja terbabit telah dibawa ke Balai Polis Tanjung Priok, Jakarta Utara, Indonesia untuk siasatan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram