[VIDEO] Ajak orang ramai ingat mati, Youtuber tanam diri dalam kubur dengan ular sawa berdepan detik cemas


  • Benua
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Tangkap layar seorang youtuber ditanam bersama seekor ular sawa di sebuah tanah perkuburan dekat Indonesia.

SEORANG Youtuber melakukan eksperimen di luar jangkaan apabila sanggup menanam dirinya bersama seekor ular sawa bersaiz besar di sebuah tanah perkuburan dekat Indonesia baru-baru ini.

Difahamkan, perbuatan itu merupakan salah satu daripada kandungan di laman Youtube peribadinya yang dikenali sebagai Gilang Barbie dengan tujuan mahu mengajak orang ramai mengingati detik kematian dan berzikir kepada ALLAH.

Turut disaksikan orang ramai dan kru petugas keselamatan di tempat kejadian, lelaki berkenaan ditanam dalam pakaian kain kafan seperti jenazah yang mahu dikebumikan.

Turut dilengkapi dengan alat komunikasi, Gilang Barbie menggunakannya untuk memberitahu situasi dihadapi tatkala dia ditanam di tanah perkuburan tersebut.

Namun, situasi bertukar serius apabila satu jeritan pertolongan didengari dari dalam kubur.

Jeritan itu susulan selepas Gilang Barbie dikatakan kehabisan oksigen dan sesak nafas yang sekali gus memaksa orang ramai segera menggali kubur tersebut.

Selesai menggali, dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital berhampiran oleh beberapa lelaki di situ.

Namun, belum ada sebarang perkembangan lanjut mengenai keadaan terkini youtuber berkenaan dan video tersebut dimuat naik di laman You Tube dengan tajuk 'Eksperimen dikebumikan hidup-hidup, untuk muhasabah diri disaksikan orang'. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram