RAKYAT Malaysia terutamanya di kawasan bandar saban hari semakin tertekan dengan isu kenaikan kos sra hidup yang tiada penghujungnya.
Malah bebanan itu kian tidak tertanggung dengan pembukaan beberapa laluan tol baharu yang pastinya akan menghimpit poket mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Tidak dinafikan bahawa ia merupakan salah satu langkah kerajaan untuk menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih efisyen untuk masyarakat namun, ia secara tidak langsung menjerumus ke arah beberapa perkara yang pernah dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU15) sebelum ini.
Janji Pakatan Harapan (PH) sebelum menjadi kerajaan yang mahu menghapuskan bayaran tol dalam PRU15 mula dipertikaikan rakyat yang melihat ia sudah semakin dilupakan dan hanyut dalam perancangan kerajaan Madani ketika ini.
Tuntutan rakyat itu kembali meniti susulan tol percuma selama dua minggu yang dilaksanakan di Plaza Tol Alam Damai baru-baru ini bersempena pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Fasa Dua yang dibuka secara rasmi bermula 12.01 tengah malam Jumaat lepas.
Lebuhraya SUKE fasa dua dibuka secara rasmi pada Jumaat lalu. — Awani
Muak dengan 'promosi' pembukaan yang dijalankan, rata-rata masyarakat sudah mula lali dengan situasi tersebut selain turut menganggap PH yang memegang tampuk kerajaan ketika ini gagal menunaikan janji manifesto dibuat sebelum ini.
"Masa kempen PRU15 dulu janji nak hapus tol, tapi sampai sekarang tak ada pun yang ada hanya percuma sempena pembukaan laluan baharu," kata Said Malim.
"Takkan dua minggu je percuma, projek itu tergendala dan menyusahkan rakyat bertahun-tahun dan nyawa pun ada yang terkorban, bagi la dua bulan lagipun PH dulu janji nak hapus tol tapi tak ke mana pun," ujar Ratno Kasir.
"Terbaik kerajaan Madani, tol percuma sementara telah diberikan kepada rakyat Malaysia, akhirnya impian ramai untuk melihat bayaran tol dihapuskan kian terhapus, tak sia-sia kita turun mengundi," jelas Uda Hasni.
Terdahulu, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini berjanji tol di Lebuh Raya Utara Selatan akan dimansuhkan jika PH memenangi PRU15 dan membentuk kerajaan persekutuan seterusnya.
Menurutnya, ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan, PH telah berjaya mengurangkan bayaran tol sebanyak 18 peratus dan boleh menghapuskan tol lebuh raya jika diberikan tempoh mentadbir selama lima tahun.
Namun sehingga kini, perkara itu masih belum dapat ditunaikan oleh kerajaan yang sekali gus mencetuskan persoalan tentang sejauh manakah ketelusan serta kejujuran parti PH dalam melaksanakan janji manifesto pernah ditabur sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram