'Kemenangan tanpa kebanggaan', laman fans JDT tumpang simpati nasib Sang Penyu


  • Podium
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Pengadil perlawanan menjadi tumpuan penyokong selepas melayangkan dua kad merah kepada pemain TFC. — Facebook/Terengganu FC

JOHOR Darul Takzim (JDT) terus menyekat penguasaan pasukan lain dengan kekal sebagai pendahulu Liga Super selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan keputusan 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu pada Jumaat.

Sang Penyu bermula garang apabila memberikan tekanan kepada pasukan pelawat sehingga berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan anak-anak buah Esteban Solari, seterusnya beberapa kali menghadiahkan sepakan percuma buat TFC.

Namun JDT kembali memperkemas permainan mereka apabila Fernando Forestieri membuka akaun jaringan Harimau Selatan menerusi sepakan gunting pada minit ke-21 permainan.

Forestieri membuka akaun jaringan Harimau Selatan. — Facebook/JDT

TFC tidak berdiam diri apabila import Sang Penyu, Sony Norde mencipta jaringan gol menerusi sepakan percuma sekali gus menewaskan Syihan Hazmi pada minit ke-28.

Ini menyaksikan selain Kelantan FC, skuad Sang Penyu menjadi pasukan kedua yang berhasil meledak gol ke gawang JDT.

Namun malang buat TFC apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Argzim Redzovic dilayangkan kad kuning kedua setelah dikatakan mengasari Fernando Forestieri pada mint ke-51 perlawanan.

Seterusnya, SSMZA sekali lagi menyaksikan layangan kad merah diberikan kepada Ivan Mamut (TFC) selepas dikatakan mengasari Feroz Baharudin (JDT) pada minit ke-73.

Bagaimanapun keputusan yang dibuat pengadil perlawanan ternyata mendapat reaksi negatif banyak pihak.

Malah pengulas perlawanan, Nizaruddin Yusof juga tidak bersetuju dengan tindakan pengadil melayangkan kad merah kepada Ivan Mamut yang dilihat tidak mengasari Feroz dengan teruk.

Rata-rata menunjukkan rasa kesal dengan tindakan yang diambil oleh pengadil terhadap dua pemain skuad Sang Penyu tersebut, termasuk dalam kalangan penyokong pasukan Harimau Selatan sendiri.

Facebook JDT Fans Club menerusi satu hantaran pada Sabtu berkata, meskipun berhasil mengekalkan kedudukan selesa dalam liga, peminat tidak menganggap ia satu kemenangan yang boleh dibanggakan.

JDT menewaskan TFC dengan keputusan 3-1 pada Jumaat. — Facebook/Terengganu FC

"Macam mana nak kalah. Nampak ada fight sikit, time tu pengadil datang tolong. Nak seri pun korang tidak ada chance (peluang). Terus dua kad merah satu penalti reff bagi. Terima kasih reff.

"Tapi sebenarnya kemenangan macam tu takde rasa kebanggaan," katanya.

"Setiap kali game JDT nak seri atau kalah, pengadil mesti tolong, ada saja penalti, kad merah," tulis Mohd Rosli.

"Sama saja Johor dengan Selangor, menang (dengan) bantuan pengadil. Watak pemain lebih kepada berlakon untuk dapat simpati," ujar Alexeander. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram