Kini digelar Giant Killer, KDA FC antara 3 kelab elit perlu waspada elak digari Sang Saka Biru


  • Podium
  • Sabtu, 10 Jun 2023

PDRM FC kini digelar Giant Killer yang bukan sahaja menggagalkan pasukan gergasi menjaringkan gol dengan banyak, malah beberapa skuad lain berjaya ditewaskan oleh mereka.

PASUKAN PDRM FC terus mencetak kemenangan keenam dalam Liga Super 2023 apabila menewaskan Sabah FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad The Cops terus mendaki carta liga berkenaan dan kini berada di tangga kelapan dalam kejohanan domestik berkenaan.

Pasukan Sang Saka Biru itu dahulunya dipandang sebelah mata oleh para peminat bola sepak tempatan kerana menggunakan taktikal parking bus dalam setiap perlawanan, namun ternyata strategi mereka bukan biasa-biasa.

Mana tidaknya, banyak kelab bola sepak tempatan seperti Selangor FC, Kelantan FC, dan Kuching City FC menjadi mangsa digari skuad berkenaan gara-gara gagal menembusi taktikal tembok pertahanan yang terkenal itu.

Malah, pasukan gergasi Johor Darul Takzim (JDT) turut menghadapi kesukaran berdepan skuad underdog tersebut untuk berpesta gol dengan jumlah jaringan besar.

Walaupun sekadar kelab underdog, PRDM FC wajar digeruni pihak lawan, terutamanya menjelang tiga aksi pertemuan saingan liga dengan kelab bola sepak tempatan bermula 23 Jun depan.

350980395_1461908187882337_7704250120319384674_n

PDRM FC berjaya menewaskan kelab gergasi seperti Selangor FC, menjadikan skuad berkenaan wajar digeruni pihak lawan. — Facebook/ PDRM Football Club

1. Perak FC vs PDRM FC

Kurang lagi dua minggu, skuad The Cops bakal bertandang ke Stadium Perak, Ipoh untuk menentang pasukan The Bos Gaurus yang kini berada di tangga ke-11.

Dengan prestasi skuad Seladang yang dilihat kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, tidak hairan mungkin pasukan tersebut akan menjadi mangsa ketujuh PDRM FC dalam aksi perlawanan kejohanan domestik itu.

Tidak mustahil The Cops yang perlu beraksi di kandang lawan mahu menebus kekecewaan apabila sekadar seri dengan The Bos Gaurus dalam aksi saingan liga pada awal musim ini.

2. PDRM FC vs Kedah Darul Aman (KDA) FC

Pertembungan antara skuad Sang Saka Biru dengan KDA FC ini mungkin dilihat sebagai peluang buat Sang Kenari membalas dendam kerana pernah tewas 0-1 pada 4 Mac lalu.

Pastinya aksi perlawanan ini sangat dinantikan oleh peminat-peminat bola sepak tempatan memandangkan semangat pasukan dari Utara itu masih membara selepas mengekalkan rekod kemenangan menentang Perak FC dan Sabah FC.

Namun tidak mustahil juga The Cops boleh menjinakkan Sang Kenari yang perlu beraksi di laman lawan dengan mengambil kira rekod cemerlang pasukan itu menumbangkan Gergasi Merah dan Sang Badak di tempat mereka.

338182362_152003027795592_4948244229121837561_n

Aksi PDRM FC menentang Terengganu FC dalam Liga Super 2023 pada 11 Mac lalu. — Facebook/ PDRM Football Club

3. PDRM FC vs Terengganu FC

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini beraksi di padang adalah pada 11 Mac lalu ketika skuad Sang Penyu menggagalkan usaha The Cops merantai mereka di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Dengan rekod permainan yang hampir serupa antara kedua-dua pasukan, pertembungan mereka pada 16 Julai nanti akan menjadi penentu persembahan mereka dalam Liga Super musim ini.

Memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, Sang Saka Biru tentunya mahu memberikan saingan sengit kepada pasukan Pantai Timur itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram