'Pengadil macam liga kampung', insiden kontroversi 2 kad merah bantu JDT tewaskan TFC


  • Podium
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Pengadil perlawanan menjadi tumpuan penyokong selepas melayangkan dua kad merah kepada pemain TFC. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) terus memperkukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan keputusan 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu pada Jumaat.

Terengganu bermula garang apabila memberikan tekanan kepada pasukan pelawat sehingga berjaya menjadikan pertahanan JDT kucar-kacir yang mana situasi itu kerap kali memberikan sepakan percuma kepada TFC.

Namun JDT kembali memperkemaskan permainan mereka apabila Fernando Forestieri membuka akaun jaringan Harimau Selatan menerusi sepakan gunting pada minit ke-21 permainan.

TFC tidak berdiam diri apabila import Sang Penyu, Sony Norde mencipta jaringan gol menerusi sepakan percuma sekali gus menewaskan Syihan Hazmi pada minit ke-28.

Dengan jaringan itu, TFC merupakan pasukan kedua yang berjaya merobek gawang JDT selain Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 11 Mac.

Sebelum tamat separuh masa pertama, JDT menambah jaringan selepas berlaku insiden kekasaran dalam kotak penalti TFC yang menyebabkan pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti kepada Bergson da Silva.

Forestieri membuka akaun jaringan JDT.

Bersambung babak kedua perlawanan, JDT dan TFC tidak menunggu lama untuk menambah jaringan selepas kedua-dua pasukan menyerang ke kubu lawan.

Malangnya TFC terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Argzim Redzovic dilayangkan kad kuning kedua apabila dikatakan mengasari Forestieri pada mint ke-51 perlawanan.

Pada minit ke-73 sekali lagi layangan kad merah disaksikan di SSMZA selepas Ivan Mamut (TFC) dikatakan mengasari Feroz Baharudin (JDT) dalam situasi pemain Harimau Selatan itu memberikan tekanan kepada penyerang Sang Penyu.

Namun pengulas perlawanan, Nizaruddin Yusof tidak bersetuju dengan tindakan pengadil melayangkan kad merah kepada Ivan Mamut yang dilihat tidak mengasari Feroz dengan teruk.

Seramai 10,000 penyokong hadir ke stadium juga dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan.

JDT menambah jaringan pada masa kecederaan menerusi Endrick dos Santos sekali gus menjadikan keputusan 3-1 sehingga tamat perlawanan.

Seperti sudah dijangka ramai, penyokong-penyokong Terengganu terlalu berang dengan tindakan layangan kad merah oleh pengadil perlawanan apabila melontarkan komen negatif di media sosial.

"Menang tak bermaruah, harap lepas ini semua team bagi JDT menang percuma sajalah," kata Mohd Shafiee.

"Pengadil Malaysia mana pernah elok kalau lawan JDT, berat sebelah semua, baik tidur sahaja," ujar Rosleeza Diha.

"Tengok pengadil pun dah kelakar, apa punya pengadil buat keputusan pun macam itu," jelas Ridhuan Ismail.

"Ref level liga kampung, berat sebelah betul pengadil FAM ini," luah Mark Riee. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram