Bekas 'keeper' TRW malu terpaksa harap isteri beri makan keluarga, tuntut permohonan maaf terbuka daripada Zamsaham


  • Podium
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Rozaimi menyertai Kelantan FC pada musim ini dari JDTII. — Facebook/TRWKelantanFC

ROZAIMI membuat keputusan untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama pada 18 April lalu, iaitu sehari sebelum perlawanan Kelantan FC menentang Sabah FC dalam aksi pusingan pertama Liga Super 2023.

Isu kelewatan pembayaran gaji didakwa membelenggu pemain pasukan Kelantan FC menyebabkan ada antara mereka berdepan dengan situasi kewangan yang agak meruncing.

Bekas penjaga gol pasukan Kelantan FC, Rozaimi Rahamat berkata, dia terpaksa menanggung malu apabila perlu bergantung kepada isterinya bagi memenuhi keperluan perbelanjaan keluarga termasuk dalam memberi makan minum serta menguruskan anak.

Katanya, situasi sukar itu berlaku selepas pengurusan pasukan The Red Warriors (TRW) didakwa membayar gaji lewat daripada bulan yang sepatutnya sejak Januari lalu.

"Saya kadang-kadang malu juga dengan anak isteri saya. Terus terang saya cakap sampai isteri saya yang kena support, sampai isteri yang kena bayar lampin anak apa semua.

"Saya bergaduh dengan bini bukan sebab apa, tapi sebab terlampau malu dengan dia. Sampai saya tak mampu nak bagi mereka makan apa semua.

"Habis kalau gaji bulan satu dapat bulan tiga. Nak settle untuk bayar kereta apa semua... gaji kita bukan besar pun dekat sana (Kelantan FC)," katanya dalam satu temu bual bersama HarimauMalaya.

WhatsApp Image 2023-06-09 at 9.24.29 PM

Rozaimi ketika beraksi bersama JDTII sebelum menyertai Kelantan FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers.

Difahamkan, Rozaimi, 27, yang juga bekas penjaga gawang Johor Darul Takzim (JDT) II membuat keputusan untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama pada 18 April lalu, iaitu sehari sebelum perlawanan Kelantan FC menentang Sabah FC dalam aksi pusingan pertama Liga Super 2023.

Menurutnya, perkara itu terpaksa dilakukan selepas pihak pengurusan TRW didakwa menetapkan kepadanya bahawa dia hanya boleh mendapatkan gaji penuh pada bulan tersebut sekiranya dia bersetuju menamatkan kontrak secara bersama.

Rozaimi berkata, pembayaran penuh gajinya termasuk tunggakan pada bulan sebelumnya sudah pun dilangsaikan oleh Kelantan FC sekitar Mei lalu.

Jelasnya, pilihan meninggalkan pasukan TRW itu terpaksa dibuat kerana dia memerlukan gaji berkenaan bagi menyelesaikan keperluan komitmen termasuk terhadap pihak bank.

Pada masa sama, Rozaimi memaklumkan pengurusan pasukan namun masih belum menyelesaikan baki pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam pada itu, Rozaimi turut menyangkal dakwaan yang mengatakan dia merupakan antara pemain yang merancang melakukan boikot bagi perlawanan menentang Sabah FC.

Menurut bapa kepada dua orang anak itu, dia langsung tidak terlibat dengan perkara tersebut malah turut secara langsung bertanyakan kepada pihak pengurusan yang membuat tuduhan mencemarkan nama baiknya.

Sehubungan itu, dia memberi tempoh sehingga Ahad ini untuk pemilik TRW, Norizam Tukiman membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.

"Saya harap pihak pemilik TRW buat permohonan maaf terbuka terhadap saya atau saya ambil tindakan terhadap fitnah dilakukan yang memang jejaskan karier bila nak cari kerja semua nanti.

"Saya sebenarnya dah mesej Norizam, tapi dia block saya. Hubungi orang dia pun janji nak bagi respons, tapi tunggu-tunggu tidak ada juga.

"Saya bagi sampai Ahad ini, kalau tidak ada juga, memang saya ambil tindakan laporan polis. Saya cakap untuk bersihkan nama saya," tegasnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram