Solari, Tomi 'berperang perasaan' terhadap mutu pengadilan aksi TFC-JDT


  • Podium
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Pertembungan hangat JDT-TFC berakhir dengan tiga mata berjaya dibawa pulang skuad Harimau Selatan. — Facebook/Terengganu FC

MOMENTUM cemerlang Johor Darul Takzim (JDT) di peringkat domestik musim ini diteruskan dengan kemenangan bergaya ke atas Terengganu FC dalam aksi minggu ke-14 Liga Super.

Jaringan akrobatik Fernando Forestieri meletakkan jaguh bola sepak tempatan itu di hadapan sebelum Sony Norde mengikat kedudukan beberapa minit kemudian menerusi satu sepakan percuma cantik.

Bagaimanapun, penalti daripada Bergson da Silva dan gol lewat daripada Endrick dos Santos menyaksikan skuad Sang Penyu hampa dengan keputusan pada Jumaat.

Namun, apa yang menjadi topik perbualan hangat daripada pertembungan berkenaan pastinya mengenai dua layangan kad merah daripada pengadil perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Bek tengah, Argzim Redzovic menjadi individu pertama yang dibuang padang sebelum Ivan Mamut turut diarahkan sedemikian selepas didapati melakukan kekasaran terhadap Feroz Baharudin.

Keputusan tersebut sememangnya tidak dapat diterima penyokong Terengganu FC yang berpendapat keputusan itu sukar diterima sama sekali.

Malah, pandangan tersebut turut dikongsikan pengendali kelab Pantai Timur itu, Tomislav Steinbruckner yang jelas kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil.

"Gol kedua JDT, saya tidak berpendapat ia sepatutnya diberikan penalti kerana saya nampak Sony mendapatkan bola dan bukannya pemain.

"Saya rasa perlawanan ini akan menjadi lebih baik jika mutu pengadilan lebih baik. Saya berpuas hati dengan anak-anak buah saya, tetapi kurang gembira kerana kita kalah," katanya kepada Astro Arena.

Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata demikian selepas wisel penamat ditiupkan, sekali gus menyaksikan Terengganu FC mengalami kekalahan keenam mereka musim ini.

353042800_2602448616585088_4537286726175738625_n

Solari jelas berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Sementara itu, bagi pengendali JDT, Esteban Solari, tentangan hebat daripada pasukan tuan rumah sukar dipersoalkan, namun melihat perlawanan itu cukup baik bagi mereka.

"Ia merupakan satu aksi yang amat mencabar bagi kami dan Terengganu FC memberi tentangan cukup hebat bagi kami. Tetapi, saya rasa selepas 20 minit, kami berhasil mengawal perlawanan.

"Kami sepasukan tahu malam ini (Jumaat) akan menjadi satu cabaran besar buat kami, tetapi ia masih satu pengalaman cukup baik buat kami," katanya.

Kemenangan itu meletakkan JDT semakin hampir dengan kejayaan Liga Super kali ke-10 berturut-turut apabila mereka melebarkan jurang dengan pencabar terdekat, Selangor FC.

Bagi Terengganu FC pula, kekalahan tersebut meletakkan mereka di tangga ketujuh dengan tiga mata dibezakan dengan pasukan di atas, Kuala Lumpur City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram