'Jangan salahkan nasib malang', Sabah perlu segera cari solusi menjelang aksi di Darul Aman


  • Podium
  • Khamis, 01 Jun 2023

Skuad Sabah FC digesa perbaiki jentera serangan pasukan menjelang aksi di saingan Liga Super musim ini. — Facebook/SabahFC

AKSI goyah dipamerkan skuad Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini semakin merisaukan penyokong dengan kejuaraan yang diimpikan kelihatan kian pudar pada ketika ini.

Ia susulan kekalahan skuad The Rhinos dalam pertemuan dengan pasukan KL City FC di peringkat suku akhir Piala FA baru-baru ini yang menyaksikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tewas dengan keputusan 1-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Di saingan Liga Super, persembahan Sabah pula dikatakan kurang konsisten dengan dua perlawanan terdahulu melihatkan skuad The Rhinos hanya mencatatkan satu kemenangan dan satu keputusan seri yang sekali gus meletakkan pasukan itu kini di kedudukan keempat liga dengan 24 mata.

Secara keseluruhan, taktikal serta percaturan Ong Kim Swee dikatakan mudah dibaca dan kurang kreatif dari segi pertukaran pemain di bahagian serangan.

kimswee

Ong Kim Swee digesa segera perbaiki kelemahan di bahagian serangan pasukan Sabah. — Facebook/SabahFC

Gagal melayakkan diri ke saingan separuh akhir Piala FA, keputusan itu dikatakan sebagai nasib malang yang menghantui Sabah apabila kerap kali tewas dalam pertemuan dengan The City Boys.

Namun, tanggapan itu ditentang peminat The Rhinos yang menganggap ia berpunca akibat taktikal Sabah yang terlampau mudah difahami dan ketandusan idea dalam merancang serangan ke kubu lawan.

"Jangan salahkan nasib kalau permainan pasukan di tahap yang biasa, pasukan lawan senang baca pergerakan kita dan barisan tengah tak berfungsi," kata Zamir Muzamier.

"Tewas kepada KL bukan sebab tak ada nasib, tapi jurulatih dia dah tahu permainan kita, Sabah sangkut di bahagian tengah, pemain nombor 10 langsung tak membantu serangan.

"Dia lari pun lambat kalau tak percaya suruh dia berlumba dengan Rawilson, memang dia akan kalah jadi pasukan perlukan seseorang yang kreatif dan pantas bertindak sebagai pemain tengah," jelas Jesse Quiban.

hab

The Rhinos digesa bangkit daripada kekalahan menjelang saingan seterusnya di Liga Super. — Facebook/SabahFC

Dalam pada itu, peminat mahu perlawanan seterusnya nanti dijadikan medan kebangkitan buat skuad Sabah apabila bakal berkunjung ke Stadium Darul Aman, Kedah pada 2 Jun nanti.

Kedah yang juga merupakan antara pencabar terkuat pada musim ini, pastinya akan memberikan saingan untuk merebut tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri.

"Pertahanan masih longgar, barisan depan masih tumpul, teruskan usaha dan perbaiki kelemahan yang ketara bila bertemu Kedah nanti," kata Hassan Kas Haji Lamit.

"Kita tak mahu tewas lagi di perlawanan seterusnya, Kim Swee perlu segera tukar pemain tengah dengan yang lebih bagus dalam membuat hantaran, bukan hanya bertahan di bawah," ujar Yusuf Malinki.

Berdasarkan pilihan pemain, Kim Swee mempunyai beberapa lagi individu yang berpotensi dan berkebolehan dalam merancang serangan pasukan.

Baddrol Bakhtiar dan Stuart Wilkin antara nama yang meniti di bibir penonton dengan kelibat kedua-dua pemain itu di atas padang diyakini mampu mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram