[VIDEO] Selamba pandu di laluan motosikal, pemandu kereta putih undang bahaya di Lebuhraya Persekutuan


  • Tular
  • Rabu, 31 Mei 2023

Tangkap layar sebuah kereta bergerak menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan pada Selasa.

TINDAKAN seorang lelaki yang memandu di laluan motosikal dekat Leburaya Persekutuan pada Selasa mengundang kecaman di laman media.

Lorong berkenaan yang dikhaskan untuk pengguna motosikal sepatutnya menjadi laluan keselamatan buat penunggang daripada terdedah daripada kemalangan jalan raya.

Namun, situasi itu dilihat semakin bahaya apabila laluan tersebut menjadi sempit dan penunggang terpaksa bergerak perlahan di belakang kereta terbabit.

Dikongsikan di laman Twitter, rakaman berdurasi 55 saat itu hangat diperkatakan warganet.

Salah seorang penunggang di situ turut meluahkan kemarahan selepas laluannya terhalang akibat kereta tersebut.

Punca kejadian masih belum diketahui setakat ini dan rata-rata masyarakat menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap pemandu tersebut.

"Ini kalau dibiarkan memang bahaya buat penunggang motosikal, jalan semakin sempit nanti boleh sesak laluan dibuatnya," kata Amar Rahimi.

"Buat hal betul, ni mesti kes tersalah lorong atau mungkin silap tengok 'waze', tapi memang menyusahkan penunggang kalau macam ni," ujar Mohd Irsyad.

"Tolong la ikut peraturan, nak elak jalan sesak atau apa pun sekali, jangan libatkan nyawa penunggang motosikal, harap polis segera siasat dan tahan pemandu," jelas Umairah Natasya.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden berkenaan setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram