SEORANG lelaki mengalami kerugian selepas dua ekor kerbau peliharaannya mati dalam insiden kecurian yang berlaku di Telok Gong, Klang, Selangor pada Rabu.
Situasi itu berlaku sebaik lima individu lelaki ditangkap cuba mencuri beberapa ekor kerbau dengan menggunakan pistol ubat pelali di tempat kejadian.
Walau bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dihalang selepas kelima-lima mereka ditahan ketika cuba melarikan kerbau berkenaan.
Dalam satu video yang dikongsikan di laman TikTok, melihatkan seekor kerbau tercedera akibat ditembak dengan ubat pelali yang boleh menyebabkan haiwan itu mati.
Pemilik kerbau tersebut, Mubarak Abdul Rahman, 31, menjelaskan bahawa lima individu terlibat merupakan penduduk di kawasan kampungnya dan sebelum ini pernah cuba melakukan perkara sama sebelum ini.
"Saya kenal pencuri itu dan dua tahun lepas mereka pernah cuba mencuri kerbau saya tetapi berjaya digagalkan lepas saya kasi amaran, tetapi kali ini dia betul-betul cuba buat benda yang sama.
"Mereka tembak ubat pelali pada haiwan peliharaan saya dan kira-kira dua ekor tercedera dan dua lagi mati," ujarnya kepada Majoriti.
Dua ekor kerbau gagal diselamatkan dan mati di tempat kejadian.
Tambahnya, perayaan Raya Haji yang bakal kunjung tiba juga mungkin menjadi salah satu faktor mengapa pencuri terbabit bertindak sedemikian.
"Mungkin nak Raya Haji jadi mereka pun mulakan kegiatan mencuri kerbau di kawasan ini.
"Habis semua ubat pelali dia tembak sampai mati kerbau saya, dua ekor lagi tercedera selepas kami berjaya selamatkan," katanya.
Mubarak juga berharap agar ada tindakan tegas diambil oleh pihak polis terhadap pencuri terbabit.
Kelima-lima suspek kini ditahan bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,