[VIDEO] Gelojoh rompak kedai di Kota Bharu, 'Hitman' tertinggal pistol atas meja


  • Tular
  • Rabu, 31 Mei 2023

Tangkap layar kejadian kecurian yang berlaku di sebuah kedai kek di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

TINDAKAN seorang lelaki yang merompak sebuah kedai kek di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin mengundang perhatian apabila kegiatannya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Ketika kejadian, individu berbaju hitam dan bersenjata pistol itu terlebih dahulu menceroboh masuk ke premis berkenaan sebelum menuju ke kaunter bayaran untuk mengambil wang dari mesin duit.

Tidak dihentikan mana-mana individu, kedai tersebut dipercayai tidak beroperasi pada hari kejadian dengan kegiatan curi itu dilakukan sewenang-wenangnya.

Tidak lama kemudian, si pencuri dilihat merampas sejumlah wang dan turut melarikan mesin duit berkenaan dari premis terbabit.

Namun, tumpuan warganet terarah kepada kecuaian lelaki berkenaan apabila tertinggal pistol yang digunakan di atas meja kaunter tersebut.

Terus beredar sebaik melarikan mesin duit terbabit, pencuri itu dipercayai terlupa akan senjata api yang ditinggalkan di premis berkenaan.

"Datang macam Hitman, sekali tertinggal pistol, memang esok lusa kena kutip dengan polis la jawabnya," kata Nazri Rahim.

"Ni rompak gaya apa, takda orang baik ambil je duit dari mesin duit, buat apa nak bawa lari," ujar Ayie Mahmood.

"Pencuri baru nak belajar mencuri ni, boleh pulak tertinggal pistol,bersepah la cap jari senang nak ditangkap nanti," jelas Farhana Musa.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes tersebut setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram