MENJADI seorang ibu bukanlah satu tugas yang mudah, apatah lagi perlu menguruskan anak-anak kecil yang bermacam kerenah.
Menerusi perkongsian bebenang di laman Twitter pada Rabu, seorang pengguna, Aida Bani meluahkan rasa penat melihat keadaan rumahnya yang berselerak difahamkan berpunca daripada anak kecilnya sebelum ia tular menerusi akaun Malaysia Most Viral.
Menurutnya, ekoran itu, dia mengambil keputusan untuk mengemas rumahnya hanya pada waktu malam sebelum tidur bagi mengelakkan dia membuat kerja yang sama berulang kali.
Laman media sosial itu turut memuat naik gambar keadaan ruang tamu dan dapur sebuah rumah yang bersepah dengan permainan kanak-kanak kelihatan berselerakan di atas lantai.
"Ni yang nak kena hadap hari-hari. Depa (mereka) buat sepah pagi, tengah hari kemas. Lepas makan tengah hari, sepahkan lagi sampai petang.
"Malas nak stres, malam sebelum tidur baru kemas. Biaq pi (Biarlah) sepah pun, rumah kita bukan rumah orang," ciapnya.
Menerusi perkongsian bebenang yang sama, pengguna berkenaan mengakui, dia adakalanya hilang sabar apabila terpaksa berdepan dengan situasi itu.
Bagaimanapun, dia memilih untuk menenangkan hati dan fikirannya dengan berzikir.
"Kadang-kadang hilang sabar. Masuk bilik kunci, istighfar, zikir sorang-sorang. Tenangkan hati.
"Belum lagi depa sepahkan tingkat atas. Tak sanggup nak naik atas tengok, nanti darah naik.
"Alhamdulilah check up hari tu tidak ada darah tinggi. Dah immune kot dengan benda ini.
"Sebab tu ramai mak-mak boleh jadi murung. Sendiri kena pandai handle, kawal emosi. Kalau tak sabar, memang boleh jadi benda tak elok," luahnya.
Ibu bapa dinasihatkan untuk mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin dalam menjaga barangan mainan mereka. — Gambar hiasan
Menjengah ke ruangan komen, hantaran itu mendapat reaksi pelbagai pihak apabila ada yang turut berkongsi nasib sama, tidak kurang juga yang memberi pandangan tersendiri.
Antaranya, pengguna dengan nama norsyafiyana berkata, ibu bapa disarankan untuk menyediakan satu ruang khas bagi anak-anak bermain dan membuat peraturan melarang mereka membawa mainan keluar dari kawasan tersebut.
"Rasanya patut buat playroom. Semua mainan dalam tu saja, kalau sepah dalam tu saja, Kalau ada tetamu datang, tutup pintu bilik tu. Jadi tak nampak sepah.
"Buat peraturan tak boleh bawa keluar mainan dari bilik tu. Rajin benar nak mengemas hari-hari. Jadi mak kena ada otak kot," pesannya.
Menurut ngmeirene pula, selain mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin, ibu bapa juga boleh menggunakan teknik memuji supaya mereka dengan rela hati akan mengemas sendiri ruang yang disepahkan.
"Anak-anak kena ajar lepas main, kena kemas. Disiplin, dah kemas tu, rajin-rajinkan puji anak dan cium dia.
"Dia akan rela hati dan seronok nak kemas barang dia. Kita pun tak serabut. Tapi anak-anak saya tidak akan kemas mainan yang budak lain sepahkan dan saya tidak kisah," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,