'Saya juga jaga mak ayah, perlu pertahan diri', rider wanita Grab kena cekik akui trauma, berkurung di rumah


  • Massa
  • Isnin, 22 Mei 2023

Tangkap layar video memaparkan insiden pergaduhan membabitkan dua individu wanita di sebuah restoran berhampiran Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada Sabtu.

SEBELUM ini tular video seorang wanita bertindak di luar kawalan apabila mengasari dan menghina penunggang e-hailing gara-gara menghalang ruang parkir di sebuah restoran berhampiran Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada Jumaat.

Perselisihan faham itu berpunca akibat si pelaku yang geram dengan tindakan rider wanita terbabit yang didakwa meletakkan kenderaan di petak parkir tersebut.

Namun, penunggang berkenaan mendakwa kedudukan motosikalnya tidak menghalang mana-mana laluan dengan ruang parkir itu masih boleh dimasuki kereta.

Gagal mengawal kemarahan, pemandu kereta tersebut kemudiannya terus meninggikan suara dan menghina pekerjaan wanita terbabit.

Setelah video itu tular di media sosial, penunggang e-hailing itu berterusan mendapat kecaman hebat daripada netizen.

Mengulas mengenai kejadian itu, penunggang wanita berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Apvle berkata, dia langsung tidak ada niat untuk berbalah dengan wanita berusia sekitar 50-an itu, sebaliknya hanya berusaha mempertahankan dirinya daripada terus dihina, dipukul dan dicekik.

"Saya cakap dengan dia jangan biadap, itu sahaja. Saya respons sebab dia dah mula cekik dan nak hempuk saya guna beg tangannya. Saya tidak ada pula gunakan kekerasan fizikal pada dia.

"Tetapi orang tak faham, mereka fikir saya orang muda bergaduh dengan orang tua. Orang akan salahkan saya sebab letak motosikal di parkir kereta, sedangkan di situ sebenarnya boleh saja bertoleransi, tidak perlu hina dan pukul saya.

"Saya juga jaga ibu dan ayah, saya membesar dengan nenek, jadi bukan senang untuk saya failkan laporan terhadap orang berusia," katanya kepada Majoriti.

Anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui dirinya masih trauma dengan insiden yang berlaku, apatah lagi dia berada dalam keadaan tidak sihat sewaktu kejadian.

Dia yang masih tertekan dengan situasi ketika ini terpaksa menjalani sesi kaunseling di Hospital Ampang bagi memulihkan semangatnya.

"Sampai sekarang saya lebih memilih untuk berkurung di rumah dan elak keluar melainkan ada urusan penting," ujarnya.

Sementara itu, Apvle turut berharap agar penunggang di luar sana lebih berhati-hati terutama di kawasan yang tidak menyediakan petak parkir khusus untuk motosikal.

"Saya juga harap ada toleransi daripada semua pihak, hormat antara satu sama lain supaya tiada pergaduhan akan terjadi.

"Moga kita semua mengambil iktibar atas kejadian ini supaya kita lebih berwaspada, tidak kisah tua atau muda," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram