IMAM Masjid Pasir Pelangi, Johor Bahru, Johor, Nur Nikman Yusof sempat menitipkan pesan kepada ahli keluarganya untuk terus mendekati al-Quran dalam perbualan terakhir bersama kakak sulungnya pada petang sebelum dia meninggal dunia selepas bermain badminton pada malam Rabu.
Siti Farahiyah Md Yusof berkata, 45, berkata, dia sememangnya tidak menyangka perbualan itu menjadi perhubungan terakhir bersama adiknya itu kerana arwah tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini.
"Sebelum kejadian itu, saya ada hubungi dia petang. Dalam perbualan itu, dia ada pesan dekat saya suruh hafal beberapa ayat al-Quran. Dia kata, kurang-kurang kurang-kurang kena hafal 2,000 patah perkata ayat al-Quran.
"Lepas itu dia juga ada minta saya tolong ajar mak supaya berdamping dengan al-Quran agar nanti amalan itu jadi asbab untuk kita mudah ke syurga," katanya kepada Majoriti.
Allahyarham, Nur Nikman, 43, dilaporkan meninggal dunia pada Rabu selepas terjatuh secara tiba-tiba ketika bermain badminton di Dewan Li Chi, Kampung Abdullah di Segamat, Johor pada Rabu.
Polis Daerah Segamat mengklasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut.
Nur Nikman (dua dari depan) bergambar bersama adik beradiknya ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Siti Farahiyah berkata, arwah yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang pengajian al-Quran dan Usuluddin itu sudah berkhidmat sebagai imam di sekitar Johor sejak 2011 selepas mendapat tawaran daripada Majlis Agama Islam Johor (MAINJ).
Mengulas mengenai keperibadian arwah semasa tempoh hidupnya, Siti Farahiyah berkata, adiknya itu sememangnya merupakan individu sentiasa disenangi sejak kecil.
Malah katanya, sikap Allahyarham yang juga anak sulung lelaki di dalam keluarganya itu menjadikannya sebagai tempat mengadu kepada bukan sahaja ahli keluarga, tetapi juga saudara dan juga rakan terdekat untuk berkongsikan sebarang masalah dihadapi.
"Adik-adik juga sangat menghormati dan memuji kelakuan akhlak dia. Memang dari kecil dia seorang yang sabar, tidak pernah melenting dan melawan. Apa sahaja orang cakap dia ikut, dia senyum sahaja," katanya.
Pada masa sama, Siti Farahiyah berkata, melalui perbualannya bersama penduduk setempat di kawasan adiknya itu pernah menjadi imam di Labis, Johor, rata-rata daripada mereka yang ditemui juga memuji sikap ringan tulang yang dimiliki arwah ketika memberikan bantuan.
"Ada yang saya jumpa itu kata, arwah ini kalau minta tolong apa pun mudah, tidak pernah menolak. Contohnya kalau minta tolong mandi jenazah ke atau apa-apa hal kecemasan seperti bantu orang berubat, dia tidak pernah bagi alasan untuk tolak," katanya yang tampil menjemput jenazah arwah untuk di bawa pulang dari Segamat, Johor.
Jenazah Nur Nikman yang juga bekas Imam Masjid Bandar Labis, Johor itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan di Pokok Sena, Kedah kira-kira pada pukul 3 pagi Jumaat.
Arwah meninggalkan dua orang isteri dan lima orang anak hasil daripada perkahwinan pertamanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram